fbpx

Polis tahan pemilik Rumah Bonda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak menyita Rumah Bonda pada Julai tahun lalu.

PETALING JAYA – Pemilik Rumah Bonda yang sebelum ini mencetuskan kemarahan orang ramai susulan pendedahan yang dibuat tentang penderaan melibatkan seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) telah ditahan semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, suspek wanita berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

“Wanita berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas diminta hadir memberikan keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya dan telah mengemukakan permohonan reman ke atas suspek pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

“Kertas siasatan baharu telah dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! pada 6 Julai lalu melaporkan tentang seorang remaja OKU sindrom Down melecur di beberapa anggota badan akibat didera disyaki oleh penjaganya di sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat jagaan kanak-kanak OKU di Wangsa Maju.

Pada 12 Julai lalu pula, rumah kebajikan tersebut iaitu Rumah Bonda pula disita oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setelah didapati telah melakukan pelanggaran syarat dalam menentukan premis pengoperasian sebagai sebuah pusat jagaan.

Difahamkan, kesemua penghuni di Rumah Bonda telah dipindahkan sepenuhnya dan diletakkan dibawah jagaan dan seliaan JKM. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI