fbpx

‘Malam tadi saya jaga sampai emak tidur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak lelaki itu berada di sisi jenazah ibunya sebelum wanita itu dikebumikan petang semalam.

PETALING JAYA – ‘Saya jaga emak malam tadi, bila emak tidur, baru saya tidur’.

Demikian kata-kata seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun apabila menceritakan kisahnya menjaga ibunya sehingga wanita itu menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.

Kisah sedih kanak-kanak itu dikongsikan Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal selepas mereka dihubungi bagi membantu menguruskan jenazah wanita berkenaan.

Katanya, arwah meninggal dunia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara pada usia 42 tahun akibat penyakit kanser hati selain meninggalkan tujuh orang anak termasuk kanak-kanak lelaki terbabit.

“Hanya tiga orang sahaja yang tinggal bersama arwah iaitu anaknya berusia 20, 16 dan lapan tahun, selebihnya tinggal bersama bekas suami di Klang, Selangor.

“Ketika kami sampai ke rumah arwah, keadaannya juga daif serta serba kekurangan,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya tadi.

Menceritakan semula kisah kanak-kanak itu, Muhammad Rafieuddin berkata, ketika kejadian kanak-kanak itu tidak mengetahui yang ibunya telah tidur buat selamanya.

“Kata kanak-kanak itu, arwah ibunya ada menjerit kesakitan sebelum dia bertindak mengurut tangan dan dada emaknya bagi mengurangkan kesakitan yang ditanggung.

“Tiba-tiba emak muntah darah dan selepas itu emak tidur, apabila emak tidur, saya pun tidur,” kata kanak-kanak itu.

Muhammad Rafieuddin berkata, pihaknya diminta untuk menguruskan jenazah itu selepas kawasan PPR itu mempunyai kes Covid-19 yang tinggi sekali gus menyebabkan jiran-jiran tidak dapat membantu.

“Saya dimaklumkan kawasan PPR itu mempunyai kes yang tinggi, jadi jiran-jiran tidak dapat keluar demi menjaga keselamatam, mujur ada dua jiran berdekatan sudi membantu.

“Setelah skuad muslimah selesai menyempurnakan jenazah, kami turut memberikan peluang kepada anak-anak untuk menatap arwah serta menciumnya buat kali terakhir,” jelasnya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara kira-kira pukul 5.30 petang semalam. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI