PETALING JAYA – Industri jualan kenderaan baharu dan terpakai di seluruh negara dianggarkan mengalami kerugian RM100 juta sepanjang bulan lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Presiden Persatuan Persekutuan Syarikat-Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Tony Khor Chong Boon berkata, kerugian disebabkan industri itu tidak dibenarkan beroperasi kerana tidak termasuk dalam kategori penting.
Menurutnya, sebanyak 4,500 syarikat jualan kenderaan yang merupakan ahli FMCCAM mencatatkan sifar pendapatan perniagaan bulan lalu.
“Pihak kami bimbang ramai ahli sudah tak mampu bertahan lagi dalam waktu sukar begini.
“Jumlah kerugian dijangka bertambah kerana 90,000 buah kenderaan terpakai dalam simpanan ahli kami berisiko mengalami kerosakan sekiranya lebih lama tersadai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Lebih membimbangkan, harga pasaran kenderaan terpakai juga dijangka mengalami susut nilai.
FMCCAM telah mengutus surat kepada kerajaan meminta supaya industri itu dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard ketat dengan premis pameran dibuka hingga 4 petang dan kehadiran 60 peratus pekerja.
“Saya telah dihubungi kementerian berkaitan dan dimaklumkan keluhan kami akan dibawa ke mesyuarat Kabinet,” katanya.














