fbpx

Belajar secara bersemuka lebih fokus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMAI pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama mahu agar sekolah kembali dibuka untuk sesi pembelajaran secara bersemuka terutama di negeri-negeri yang telah beralih kepada Fasa Kedua PPN.

Oleh ZULKIFLI MANZOR, MOHD. AZLI ADLAN, NOOR HAYATI MAMAT, MASTURAH SURADI, KHAIRUL MOHD. ALI dan NUR ANATI JUHARI

PETALING JAYA – Selepas hampir dua bulan sekolah ditutup susulan peningkatan kes Covid-19, rata-rata pelajar dan ibu bapa mula menyuarakan harapan agar pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama tahun ini diberikan keutamaan untuk mengikuti sesi pengajaran dan pem­belajaran (PdP) secara bersemuka apabila sekolah dibuka pada 25 dan 26 Julai ini.

Harapan itu disuarakan para pelajar selepas beberapa buah negeri telah beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menyaksikan sedikit kelonggaran diberikan kepada negeri berkenaan termasuk pembukaan lebih ba­nyak sektor ekonomi.

Antara negeri yang telah ber­alih ke Fasa Kedua PPN ialah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan terbaharu, Sarawak.

Menurut mereka, keutamaan perlu diberikan kepada kumpulan pelajar berkenaan sekiranya Kementerian Pendidikan (KPM) bercadang untuk membuka semula persekolahan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semenchu, Kota Tinggi, Johor, Muhammad Ehsan Muhd. Khairul Anuar, 17, berkata, pembelajaran secara bersemuka dengan guru di sekolah sebenarnya dapat meningkatkan lagi fokus mereka terhadap mata pelajaran yang diajar.

Kata anak sulung daripada lima beradik itu, pembelajaran secara dalam talian mempunyai kekangan tertentu menyebabkan pelajar sukar untuk memberi fokus sepenuhnya.

“Sebagai pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kami berharap agar diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah agar persediaan lebih rapi dapat dibuat.

“Peperiksaan ini adalah penentu masa depan kami. Belajar secara bersemuka lebih seronok dan lebih penting dapat terus bertanya kepada guru tanpa ada gangguan,” katanya.

Pelajar SMK Taman Scientex, Pasir Gudang, Raja Muhammad Hannan Raja Othman, 17, pula berkata, dia bimbang kaedah Pembelajaran dan Pengajaran Di Rumah (PdPR) akan menurun­kan prestasi akademiknya jika dibandingkan dengan pembelajaran secara bersemuka.

“Saya sukar untuk memberikan tumpuan 100 peratus terhadap sesi pembelajaran secara online atas beberapa sebab.

“Selain daripada suasana rumah yang ramai penghuni, saya juga mudah berasa pening apabila terlalu lama menghadap te­lefon bimbit,” katanya.

RAJA MUHAMMAD HANNAN akui sesi pembelajaran di sekolah mampu meningkatan keyakinan para pelajar.

Di Terengganu, kebanyakan pelajar kelas peperiksaan di ne­geri ini memilih untuk kembali ke sekolah pada sesi persekolahan yang sepatutnya dibuka semula pada 25 Julai depan.

Rata-rata daripada mereka juga tidak sabar untuk belajar secara bersemuka dengan guru yang dianggap pendekatan pa­ling efektif bagi menghadapi SPM yang dijadualkan bulan Mac tahun depan.

Muhammad Abu Hanifah Bedul, 17, yang merupakan pelajar tingkatan lima SMK Padang Midin, Hulu Terengganu berkata, dia mengalami kesukaran untuk belajar secara PdPR ekoran masalah liputan internet.

“Jika belajar secara bersemuka dengan guru, saya boleh terus bertanya dan sudah pasti pemahamannya jauh lebih baik,” katanya.

Pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Berang, Putera Syahmi Zafran Syirfan Indra Mitra Surya, 17, juga sependapat agar sesi persekolahan secara bersemuka segera dilakukan.

“Bimbingan guru dan sokongan rakan-rakan sekelas amat perlu bagi kami menghadapi peperiksaan SPM yang sangat penting ini.

“Apapun, kami harap Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dapat membuat pengumuman awal untuk memudahkan ibu bapa dan kami membuat persediaan,” katanya.

Di Kedah, seorang ibu, Azizah Hashim, 46, dari Alor Setar berkata, dia bersetuju jika kementerian menyegerakan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka terutama kepada pelajar peperiksaan.

“Tumpuan belajar secara PdPR dan bersemuka sangat berbeza dan anak saya juga sering mengeluh kerana sukar untuk memberi fokus.

“Pelajar peperiksaan ini sudah besar dan faham akan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) dan mereka juga pandai menjaga diri,” katanya.
Pelajar SMK Pokok Sena, Nur Habibah Abdullah, 17, turut me­ngakui rindukan suasana pembe­lajaran di sekolah bersama rakan dan guru-guru.

“Sejak tahun lalu, saya dan rakan kurang mendapat peluang belajar secara bersemuka berikutan penularan Covid-19 dan secara tidak langsung sudah mengganggu proses pembelajaran kami yang kini sedang bersedia untuk menghadapi SPM,” ujar­nya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI