fbpx

Bank Islam terima 108,936 permohonan bantuan Pemulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) kini membantu 108,936 akaun dengan jumlah pembiayaan tertunggak hampir RM12.63 bilion di bawah pakej Bantuan Pembayaran Pemulih (BPP) sejak pelaksanaannya pada 7 Julai lalu.

Ia melibatkan seramai 108,846 pelanggan individu dengan jumlah pembiayaan tertunggak sebanyak RM12.6 bilion, selain 90 permohonan daripada perusahaan mikro serta perusahaan kecil &
sederhana (PKS), melibatkan nilai hampir RM29.43 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri perbankan Islam dalam menangani impak Covid-19 terhadap kelangsungan hidup rakyat.

“Bantuan pembayaran ini memberikan kelonggaran kepada komitmen kewangan pelanggan buat sementara waktu dan memberi ruang agar mereka dapat menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing.

“Bank sentiasa proaktif untuk berurusan dengan pelanggan bagi mengenal pasti keperluan mereka serta
menyediakan sokongan diperlukan bagi membantu mereka membuat keputusan bermaklumat yang bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd. Muazzam

Selain BPP, Bank Islam turut menawarkan program penjadualan dan penstrukturan yang
bersesuaian dengan kehendak pelanggan dengan pelan bayaran berpatutan.

Di samping itu, perusahaan mikro dan PKS yang layak juga dapat menikmati Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) untuk pelanggan dalam sektor pelancongan dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) untuk pelanggan dalam sektor perkhidmatan.

Baru-baru ini, Bank Islam telah melancarkan Kemudahan Automasi dan Digitalisasi (ADF) untuk PKS yang memerlukan insentif untuk mengautomasi proses dan pendigitalan operasi bagi meningkatkan kecekapan perniagaan.

Mohd. Muazzam menambah, pihaknya mengakui pandemik ini memberi kesan berbeza kepada setiap pelanggan, ketika perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan akan menjejaskan aktiviti ekonomi.

“Kami komited untuk menyokong daya tahan pelanggan dalam menguruskan komitmen kewangan mereka, terutamanya dalam tempoh tidak menentu ini.

“Bank Islam turut menggesa pelanggan yang memerlukan sokongan untuk menghubungi kami serta menyatakan pilihan bantuan yang diperlukan dan kakitangan Bank Islam amat dedikasi untuk menjawab
persoalan anda pada bila-bila masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI