fbpx

Argentina juara Copa America 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain dan jurulatih melambungkan Lionel Messi ke udara selepas saingan final Copa America 2021 berakhir selepas kejayaan menewaskan Brazil 1-0. - Foto Twitter Copa America.

RIO DE JANEIRO – Pasukan Argentina akhirnya menamatkan kemarau 28 tahun tanpa sebarang kejuaraan utama apabila menjuarai Copa America edisi 2021 dengan menewaskan Brazil 1-0 di pentas final sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Maracana itu, skuad Brazil yang beraksi selaku pasukan tuan rumah membariskan skuad terbaiknya yang diketuai oleh Neymar, Richarlison dan Everton.

Argentina yang dibimbing oleh Lionel Scaloni turut meletakkan jentera serangan berbisa dalam kesebelasan utama seperti Lionel Messi, Lautaro Martinez dan Angel di Maria.

Namun, skuad La Albiceleste tidak menunggu lama untuk melakukan asakan selepas mendominasi sebahagian besar perlawanan pada awal saingan.

Gerakan positif yang dilakukan oleh Argentina akhirnya membuahkan hasil apabila Di Maria meledak gol pada minit ke-22 selepas menerima hantaran cantik daripada Rodrigo de Paul.

Tersentak dengan gol tersebut, Brazil yang dikendalikan oleh Tite memperbaiki kelemahan di benteng pertahanan selain memperkemaskan jentera serangan tetapi keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung pada babak kedua, Brazil yang terdesak memburu gol memasukkan Vinicius Junior dan Roberto Firmino untuk memantapkan jentera serangan.

Namun, percubaan terbaik mereka hasil ledakan Richarlison pada minit ke-54 telah dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR).

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Argentina turut memiliki peluang untuk menambah jaringan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan badi tujuh kekalahan dipentas final yang dialami oleh skuad Argentina yang menduduki ranking No. 8 dunia berakhir.

Malah, ia juga menjadi trofi antarabangsa pertama buat kapten pasukan, Messi selepas dikritik hebat gagal mempamerkan aksi yang diharapkan bersama skuad kebangsaan berbanding ketika mewakili Barcelona sebelum ini. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI