fbpx

Kerjasama diperkukuh pastikan pengurusan pandemik di landasan tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan hadapan bertungkus-lumus mengekang penularan pandemik Covid-19 di negara ini. – GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Penglibatan kumpulan profesional terutamanya pakar-pakar kesihatan awam, ekonomi dan sosial dalam pengurusan pandemik Covid-19 di negara ini akan terus diperkukuh sebagai usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu bagi mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu, kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial itu juga akan menilai strategi pengurusan pesakit di hospital dan juga strategi pemberian vaksin kepada populasi di negara ini.

“Kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19.

“Justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif,” katanya di sini hari ini.

PMO memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) secara sidang video yang turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi mesyuarat itu, Jemaah Menteri juga bersetuju melantik Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi PPN yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI