fbpx

Saya memasak, buat muzik – SonaOne

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SONAONE

PANDEMIK Covid-19 bukan hanya membuat semua orang berasa terpenjara tetapi bertemu dengan hobi baharu yang tidak pernah terjangkau minda mereka.

Buat penyanyi rap, SonaOne, selain tetap setia bermain muzik, dia juga tidak terkecuali berdepan perihal tersebut.

Pemilik nama lengkap Mikael Adam Mohd. Rafee Michel Lozach itu berkata, dia bertemu cinta dalam bidang kulinari dan masih menyifatkan dirinya terlalu amatur dalam dunia berkenaan.

Biarpun tidaklah ‘gempak’ dalam hal masak-memasak, itu adalah antara perkara baharu yang ditemuinya pada saat semua orang luluh dan terus merana disebabkan permasalahan Covid-19 yang masih berlanjutan sehingga ke hari ini.

SONAONE tetap selesa menjalin kolaborasi pada musim pandemik dengan bantuan kemajuan teknologi yang tidak memerlukan pemuzik bersua muka, namun juga tidak menafikan ada kerinduan untuk bertemu peminat dan melakukan persembahan pentas.

Kerap memasak

Kata jejaka berusia 33 tahun itu kepada HibGlam, dia suka menghabiskan masa di dapur pada musim pandemik.

“Sejujurnya, perkara itu tidak sebesar mana. Saya cuma banyak buat muzik dan memasak. Saya selalu sangat memasak.

“Dari masakan orang Asia kepada masakan ‘Mat Salih’, semua saya dah cuba masak. Saya lebih suka sediakan juadah sendiri di rumah pada musim pandemik, lebih segar,” katanya.

Jelas pelantun lagu Apa Khabar itu lagi, seperti muzik, dalam menyediakan masakan, dia juga suka bereksperimentasi dengan menukar juadah mengikut ‘mood’ dan bahan yang terdapat di dapur rumahnya.

“Kadang-kadang, saya improvisasi masakan yang saya sediakan. Kadang-kadang juga, saya suka keluar dari rumah hanya untuk mendapatkan bahan-bahan segar yang langsung tidak pernah dimasak sebelum ini,” tutur Sona.

Dalam masa sama, Sona juga baru sahaja muncul dengan dua single kolaborasi iaitu Jatuh Boi (bersama YHB Sleepsalot) dan karya kolaborasi tiga negara serumpun berjudul Orang Lain (bersama A. Nayaka dan YHB).

SELEPAS atuh Boi, SonaOne muncul dengan sebuah lagi lagu berentak hip hop iaitu Orang lain bersama Nayaka dari Indonesia dan YHB Sleepsalot (Singapura).

Ransang kolaborasi

Ditanya sama ada pandemik mengajar dirinya untuk terus selesa berkolaborasi dengan penyanyi atau rapper lain, Sona tidak menafikan perkara tersebut.

Katanya, walaupun pandemik membataskan pergerakan kebanyakan pemuzik, namun situasi tersebut tidak menghalang dirinya untuk menzahirkan karya yang boleh dikongsikan kepada peminat.

“Saya seorang pemuzik yang suka buat banyak projek dalam satu masa. Zaman sekarang, muzik baharu boleh tercipta walaupun tidak bertemu muka.

“Dengan kemajuan teknologi zaman sekarang, kita boleh berhubung dengan sesiapa seluruh dunia walaupun hanya duduk di rumah.

“Cumanya tak dapat bertemu secara fizikal tetapi bagi saya, kalau dapat borak melalui Zoom pun, itu boleh membantu proses atau kerja kreatif, terutama yang bikin muzik,” luahnya.

Enam tahun selepas lagu nyanyiannya bersama Joe Flizzow, Apa Khabar dijulang sebagai juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29), Sona tidak kisah andai itu sahaja memori paling diingati orang ramai tentang dirinya.

 

BANGGA dengan perkembangan sihat muzik hip- hop negara yang semakin diperakui sejak akhir-akhir ini, SonaOne bagaimanapun berkata, tidak semua karya yang dihasilkan akan menjadi siulan orang ramai. – IHSAN UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA & INSTAGRAM SONAONE

Rezeki ‘roll the dice’

Katanya, dia juga tidak ada kuasa untuk mengawal apa yang disukai atau tidak disukai pendengar.

“Kita tak boleh kawal audien dan pada masa sama, saya tetap jujur dengan muzik saya.

“Jadi hit atau tidak, perlu diingatkan, kadang-kadang kita ‘roll the dice’ (campak dadu), kita akan dapat angka enam, kadangkala dapat angka satu.

“Saya tak cakap semuanya bergantung kepada rezeki atau nasib tetapi saya ingin tegaskan yang apa yang perlu kita lakukan sebagai anak muzik adalah sentiasa bekerja keras. Itu yang saya buat dan saya tak pernah berhenti bekerja keras di studio rakaman,” katanya.

Sona yang dilahirkan di Kuantan, Pahang percaya, kesungguhan dalam melakukan apa sahaja perkara yang dikerjakan akan membuahkan hasil pada kemudian hari.

“Saya percaya dengan bakat dan kerja keras akan menghasilkan kualiti kerja.

“Itu yang saya kisahkan dan kalau ada perkara lain datang, saya bersyukur dan sangat hargai. Rezeki memang tak boleh ditolak,” ujarnya.

Sonaone dan Joe pernah dijulang sebagai juara keseluruhan apabila Apa Khabar menang besar dalam AJL29. Bukan itu sahaja, karya tersebut juga pernah dinobatkan sebagai Lagu Hip Hop Terbaik dalam

Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) setahun sebelumnya.

Sejak daripada itu, penguasaan genre hip-hop semakin menjalar dan diterima ramai dalam arus perdana persada muzik tempatan.

SONAONE selesa bekerjasama dengan rapper muda dari Singapura YHB Sleepsalot dan menyifatkan anak muda itu sebagai sangat berbakat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI