fbpx
Solat sunat Aidiladha boleh dilaksanakan maksimum seramai 500 jemaah.

Melaka benarkan 500 jemaah solat Aidiladha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Melaka membenarkan solat sunat Aidiladha dilaksanakan dengan jumlah maksimum seramai 500 jemaah di tujuh buah masjid kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun bagi masjid kariah dan masjid institusi negeri hanya 100 jemaah dibenarkan.

“Solat sunat Aidiladha pada 20 Julai dibenarkan untuk dilaksanakan secara berjemaah dengan jumlah maksimum kehadiran adalah 500 bagi di tujuh buah masjid kerajaan negeri.

“Manakala 100 jemaah ditetapkan untuk masjid kariah dan masjid institusi negeri serta 50 jemaah di surau-surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat,” katanya.

Tambahnya, surau awam yang mendapat kebenaran khas dari Jabatan Mufti Negeri Melaka untuk melaksanakan Solat Aidiladha juga dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat tersebut dengan jumlah maksimum seramai 50 jemaah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masjid dan surau yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakannya secara berkumpulan.

“Penduduk hendaklah mendirikan solat sunat Aidiladha di rumah masing-masing. Penduduk di kawasan PKPD juga adalah dilarang pergi ke masjid dan surau di kawasan lain.

“Kehadiran jemaah di kesemua masjid dan surau hendaklah dilaksanakan di dalam bangunan masjid dan surau dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter,” katanya.

Jelasnya, jemaah yang hadir juga mestilah berusia 12 tahun ke atas dan pemasangan khemah di dalam kawasan masjid serta surau adalah tidak dibenarkan.

Katanya, takbir Aidiladha secara berkumpulan dibenarkan di masjid dan surau selepas solat Maghrib pada malam 10 Zulhijjah 1442H (19 Julai 2021M) sehingga pukul 10 malam dengan jumlah kehadiran tidak melebihi 12 orang.

“Penganjuran aktiviti takbir dari rumah ke rumah adalah tidak dibenarkan. Pentadbiran masjid dan surau perlulah memastikan pematuhan prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN