KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan kerana membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki di Brickfields di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, berdasarkan keterangan suspek berusia 28 tahun itu, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah malam ketika sedang berjalan kaki di Brickfields menghala ke Jalan Ang Seng.
“Dua peragut menunggang sebuah motosikal jenis Honda Wave. Mangsa mendakwa ditendang serta dipukul peragut dengan batang besi.
“Beg silang yang di dalamnya mengandungi wang RM200, kad pengenalan dan dokumen penting dilarikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Polis yang melakukan siasatan meragui kandungan laporan tersebut kerana tidak dapat mengenal pasti lokasi sebenar.
Suspek juga dalam keadaan mabuk.
“Pemantauan di lokasi kejadian juga tiada televisyen litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi bebas yang tampil memberi keterangan.
“Suspek didapati sengaja membuat laporan palsu mengenai kejadian ragut. Dia ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis,” jelasnya.
Polis memberi peringatan dan amaran kepada masyarakat supaya tidak membuat laporan palsu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














