fbpx

Gurauan kasar terhadap Shuk, Issey minta maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISSEY dan Shuk.

PETALING JAYA – Pelawak dan penyampai radio, Issey mengakui gurauan kasar terhadap rakan seperjuangannya, Shuk dalam program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) musim keempat menerusi TV3, tiga hari lalu pengajaran buat dirinya.

Katanya, walaupun sudah meminta maaf kepada pengacara dan pelawak berkenaan, secara peribadi dia akan sentiasa beringat untuk berpada-pada dalam ‘menyakat’, sekali gus tidak mengguris perasaan orang lain.

“Rakaman itu berlangsung pada April lalu secara tertutup dan disebabkan terlalu selesa kerana Shuk juga antara kawan baik yang selalu bertepuk tampar membuatkan saya mengusiknya sebegitu.

“Ikutkan kami memang rapat dari dahulu, malah kalau tengok kami bergurau pun agak kasar sebab suka ‘membahan’ sesama sendiri tapi saya tahu itu bukan alasan untuk saya mengatakan isu curang itu secara terbuka dalam televisyen.

“Sejujurnya saya tiada niat apa-apa ketika mengeluarkan ayat itu, jauh sekali mahu memalukannya. Namun benda sudah jadi, saya minta maaf dan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Saya sudah pun menghubunginya untuk meminta maaf, bukan disebabkan perkara itu menjadi viral tetapi secara ikhlas saya tidak bermaksud cuba menjatuhkan maruahnya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Terdahulu, menerusi program itu Issey yang juga penyampai radio Suria FM mengeluarkan ayat ‘awak pernah curang saya tak pernah’ yang ditujukan pada Shuk sebagai balasan gurauan kepada dirinya.

Begitupun, perkataan yang diluahkan secara spontan itu mengundang rasa kurang senang segelintir pihak yang menganggap gurauan tersebut keterlaluan.

Apatah lagi, Shuk pernah berdepan kontroversi membabitkan hubungan dengan seorang wanita yang menimbulkan ketegangan dalam rumah tangganya. Lebih memanaskan, tidak sampai 24 jam selepas insiden gurauan Issey menemui penonton, beberapa hari lalu, Shuk sekali lagi memanas akibat pendedahan terkini daripada isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dalam Instagram.

Sebelum itu, Shuk memuji kesetiaan Issey terbabit dalam program ICSYVM apabila menunjukkan perubahan ketara pada dirinya.

“Pertama sekali saya ucapkan terima kasih sebab awak tunjuk setia dengan program ini dan buat dua perubahan sejak datang sini. Sebelum ini duda, sekarang suami orang,” katanya.

Sementara itu, Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 34, turut berharap masyarakat juga memaafkan ketelanjuran kata-katanya.

Malah dia tidak ketinggalan meluahkan terima kasih di atas teguran orang ramai berhubung isu terbabit kerana secara langsung itu membuktikan keprihatinan mereka.

“Jika orang tak tegur mungkin saya pun tak sedar kekhilafan saya. Sekali lagi saya minta maaf. Harap perkara ini juga tidak diperbesarkan lagi,” luahnya.

Ditanya mengenai persahabatan dengan Shuk, Issey memaklumkan mereka masih seperti dulu malah tiada sebarang sengketa walaupun usikan yang dilakukannya viral dalam media sosial.

“Alhamdulillah dia okey dan faham. Sebenarnya selepas rakaman program itu pun kami ada berjumpa. Dia pun tak sangka gurauan saya jadi isu hangat,” ulas Issey. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI