fbpx

Fahami impak ambil moratorium – BNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Peminjam perlu memahami bahawa dengan mengambil bantuan bayaran balik pinjaman, kos pinjaman akan meningkat secara keseluruhan kerana faedah/keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan di sini berkata, bank-bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman terhadap jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan. 

“Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (dan bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang. 

“Bank tidak akan mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan (faedah/keuntungan terkompaun) atau apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan,” katanya.

Peminjam individu dan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik, boleh mula memohon moratorium selama enam bulan daripada bank masing-masing bermula esok.

Selari dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan akan diberi secara automatik.

Menurut BNM, industri perbankan telah memberi komitmen dan keyakinan untuk membantu peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan disebabkan oleh sekatan pergerakan. 

“Dalam hal ini, BNM akan memantau dengan rapi pelaksanaan program bantuan bayaran balik pinjaman oleh industri perbankan. 

“Jika peminjam menghadapi apa-apa kesukaran dengan bank-bank mereka, atau jika bayaran ansuran meningkat secara tidak munasabah, peminjam boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.my/RAsurvey untuk mengemukakan aduan mereka,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI