fbpx

Reka tudung harga mampu milik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REKAAN tudung jenama Fasilysta milik Nur Fasihah sentiasa diberikan nafas baharu demi memberikan kelainan kepada pelanggan.

PENGGUNAAN tudung litup sehingga melepasi paras dada merupakan salah satu keperluan bagi seorang wanita Muslim yang patuh kepada perintah menutup aurat.

Wanita Muslim di negara ini mempunyai banyak jenis tudung untuk dipilih memandangkan pengeluarnya terlalu ramai daripada yang bernilai ribuan ringgit sehingga harga mampu milik.

Malah, jenis tudung yang ditawarkan oleh pengeluar di negara ini juga cukup pelbagai sama ada daripada aspek motif corak, potongan, lebar kain dan teknik pemakaian.

Menyedari minat pengguna yang pelbagai, Nur Fasihah Othman memberanikan diri untuk mengeluarkan tudung jenama sendiri sejak dua tahun lalu.

Berbekalkan modal permulaan sebanyak RM8,000, gadis berusia 23 tahun itu berjaya mengeluarkan tudung atas jenama Fasilysta dengan menyasarkan golongan mahasiswa sebagai pelanggan.

“Tudung ini digunakan secara harian dan kerap oleh wanita Muslim terutamanya apabila mereka berada di luar rumah. Jadi, saya yakin permintaannya sangat tinggi.

“Sebelum ini, saya pakai dan rebiu tudung jenama lain dalam media sosial. Daripada situ, saya rasa lebih baik buat, pakai dan promosi tudung jenama sendiri,” katanya ketika ditemu bual iGen baru-baru ini.

Gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu memberitahu, Fasilysta menawarkan dua jenis tudung iaitu bawal bidang 50 sentimeter dan shawl dengan pelbagai corak eksklusif.

Jelasnya, dia berjaya mengupah seorang pereka bagi menghasilkan corak menarik mengikut cita rasa golongan muda serta bekerjasama dengan sebuah kilang yang mengeluarkan tudung terbaik.

“Buat masa ini, Fasilysta mempunyai lapan rekaan tudung eksklusif yang tidak ada pada jenama lain. Alhamdulillah, tudung-tudung ini mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada pelanggan.

“Ini kerana, tidak banyak tudung bawal bersaiz besar dan labuh dalam pasaran menawarkan rekaan yang menarik serta moden seperti Fasilysta,” ujar gadis yang bekerja sebagai pegawai kaunseling pelatih di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan itu.

Salah satu tudung rekaan Fasilysta paling laris adalah bercorak kalendar yang terjual lebih daripada 100 helai dalam tempoh dua bulan berada di pasaran.

Nur Fasihah berkata, pada permulaan perniagaan, dia hanya menyasarkan pelanggan daripada mahasiswa memandangkan ketika itu masih menuntut di Universiti Malaya.

GADIS kelahiran Pasir Mas ini bersyukur kerana bisnes tudungnya mendapat sambutan daripada pelanggan.

 

Ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Kaunseling itu lagi, tudung-tudung dijual terus kepada rakan-rakan dan secara dalam talian kepada mereka yang berada di luar Lembah Klang.

“Kami menawarkan tudung mampu milik oleh mahasiswa iaitu pada harga di bawah RM50 sehelai. Rekaannya setaraf dengan jenama tudung terkemuka lain di negara ini,” ujarnya.

Kini, anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu boleh berbangga apabila berjaya membuka sebuah kedai tudung Fasilysta di tingkat 3, Wakaf Tok Guru, Kota Bharu.

Jelasnya, kedai yang dijaga oleh seorang pekerja itu membantu memudahkan pelanggan untuk mendapatkan tudung Fasilysta dengan lebih cepat dan mudah.

“Saya lebih suka pelanggan melihat dan merasai sendiri keselesaan memakai tudung ini. Disebabkan itu, saya rasa perlu mempunyai sebuah kedai sendiri bagi memudahkan pelanggan berkunjung.

“Pada masa sama, saya juga menerima tempahan secara online iaitu menerusi Instagram Fasilysta.shawl. Disebabkan saya juga bekerja, kadang-kadang tidak sempat untuk melayan pelanggan secara online,” katanya.

Sebelum mengakhiri bicara, Nur Fasihah sempat menitipkan pesanan kepada remaja, terutamanya graduan supaya memberanikan diri untuk menceburi bidang keusahawanan.

Katanya, mereka tidak seharusnya berharap untuk mendapatkan kerja makan gaji sahaja memandangkan dunia berdepan pandemik Covid-19 ketika ini dan banyak syarikat membuang pekerja.

“Saya rasa daripada menganggur lama menunggu pekerjaan, lebih baik mereka (graduan) memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Cuba bisnes kecil dahulu, jika berjaya baru boleh kembangkan perniagaan.

“Paling penting, jangan sesekali takut untuk bersaing dengan jenama lebih besar.
Sentiasalah yakin dengan kelebihan dan tarikan yang ada pada produk sendiri,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI