fbpx

Jadi sukarelawan PPV, perjuangan kecil Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAIYAN TRISHA

PETALING JAYA – Impian penyanyi dan pelakon cantik Daiyan Trisha untuk sama-sama berkhidmat membantu negara menangani penularan virus Covid-19 akhirnya terlaksana selepas berpeluang menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Menurut Daiyan atau nama sebenarnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 28, impian tersebut terlaksana selepas hampir tiga bulan menunggu panggilan sejak Mei lalu.

Bahkan, Daiyan juga menganggap usahanya sebagai perjuangan kecil untuk bersama-sama dengan ‘frontliner atau barisan hadapan berjuang menghapuskan pandemik semakin meruncing ketika ini.

“Sebenarnya memang sudah lama teringin hendak menjadi sukarelawan untuk program vaksinasi dan rasanya ini masa yang tepat.

“Jika dilihat sebelum ini pun, saya memang kerap sebarkan kesedaran dan bersuara tentang kepentingan pengambilan vaksin. Akhirnya impian untuk membantu masyarakat sepanjang musm pandemik tercapai juga,” ujar pelantun lagu On My Way itu.

Pelakon drama Projek: Anchor SPM itu sebenarnya tidak menyangka bahawa usaha kecilnya boleh memberikan inspirasi dan membuatkan lebih ramai ahli masyarakat bersemangat, seterusnya terbuka hati untuk menerima vaksin.

“Kehadiran saya di sini mendapat pelbagai reaksi positif tidak kiralah daripada penerima vaksin sehinggalah netizen. Terharu dan lucu baca semua komen tersebut tetapi jika usaha kecil ini boleh menggalakkan lagi lebih ramai terima vaksin, apa salahnya.

DAIYAN berkongsi keterujaan dapat memulakan tugas sebagai sukarelawan di PPV.

“Selain ramai teruja hendak terima vaksin, ada juga netizen yang melahirkan hasrat untuk bergelar sukarelawan.Semoga lebih banyak lagi perkara positif berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Dalam pada itu, pengacara Muzik-Muzik berkenaan turut melahirkan rasa bersyukur apabila melihat ramai rakyat Malaysia bersemangat untuk menerima suntikan vaksin dan akan kembali bertugas sebagai sukarelawan pada minggu depan.

“Seronok apabila lihat ramai termasuk golongan warga emas dan remaja. Jika ada yang takut, saya bantu tenangkan mereka.

“Selain itu, saya juga bosan berada di rumah dan inilah peluang saya untuk keluar dan bersosial dalam masa sama menghulurkan sedikit pertolongan dalam usaha menangani penularan virus Covid-19.

“Minggu depan saya akan kembali bertugas sebagai sukarelawan. Tugas ini akan saya lakukan sehingga tiada lagi rakyat Malaysia yang tercicir daripada menerima suntikan vaksin,” katanya.

Terdahulu, beberapa selebriti lain juga pernah terlibat menjadi sukarelawan di pusat vaksin seperti Isma Yusoof, Fizo Omar, Nazim Othman, Sherry Alhadad, Amelia Henderson dan Nadiya Nissa. – K! ONLINE

BARISAN selebriti termasuk Amelia Henderson, Sherry, Nazim, Fizo dan Nadiya Nissa yang berkhidmat sebagai sukarelawan PPV di UKM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI