fbpx
Ashari (dua dari kiri) melihat kawat duri yang telah dialihkan daripada laluan tangga Blok C PPR Kampung Baru Air Panas sebentar tadi.

Bomba persetujui pemasangan kawat berduri di tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan bahawa pemasangan kawat berduri di laluan tangga Blok C, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas di sini telah dipersetujui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diadakan sebelum ini.

“Terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk blok itu bagi tujuan keluar masuk sekiranya berlaku kecemasan, malah polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kekeliruan timbul apabila gambar kawat duri di laluan tangga itu tular kerana penduduk berasa bimbang sekiranya berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di sini hari ini.

Jelas beliau, sekiranya berlaku kecemasan, pihak ATM berkemampuan untuk membuka kawat duri itu dalam tempoh masa yang singkat dan polis juga sentiasa berada di laluan itu untuk memantau situasi semasa.

Terdahulu, beberapa keping gambar tular di laman media sosial memaparkan beberapa anggota ATM memasang kawat berduri di laluan tangga Blok C bangunan berkenaan sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna sosial media.

Tinjauan Kosmo! di PPR itu mendapati kawat duri tersebut telahpun dialihkan ke luar kawasan tangga bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Pemasangan kawat berduri itu adalah bagi mengelakkan penduduk keluar atau masuk dari blok berkenaan yang kini berada diletakkan di bawah PKPD sehingga 16 Julai ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR