fbpx

Bapa 5 anak mengaku tidak salah buat komunikasi jelik perlaksaan darurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Mohd. Aman (tengah) keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas membayar ikat jamin.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa lima anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik melalui aplikasi Facebooknya berhubung perlaksanaan darurat Januari lalu.

Tertuduh, Wan Mohd. Aman Wan Mohd. Ishak, 40, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mengikut pertuduhan, Wan Mohd. Aman didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Aman Muhammad’.

Hantaran dibuat pukul 10.59 pagi pada 12 Januari 2021 yang  kemudian dibaca pada hari sama pukul 4.12 petang di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini,

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd. Apandi menawarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Mohd. Yusoff Yakob yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh yang kini tidak bekerja mempunyai tanggungan seorang isteri serta lima orang anak berusia dua hingga 12 tahun.

“Sepanjang siasatan dijalankan tertuduh yang tinggal di Kelantan telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 3 Ogos ini ditetapkan sebutan semula kes. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI