fbpx

Ella dedah pernah alami kemurungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ella

PETALING JAYA – Selepas melahirkan rasa bimbang terhadap peningkatan kes terhadap peningkatan kes bunuh diri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, penyanyi legenda negara, Ella mendedahkan bahawa dia pernah bergelut dengan masalah kemurungan dan keresahan (anxiety) suatu ketika dahulu.

Menerusi satu pendedahan yang dikongsikan dalam Facebook miliknya, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 56, berkata, dia amat faham perasaan individu yang terfikir untuk membunuh diri kerana dia juga pernah berhadapan dengan masalah sama (kemurungan dan keresahan).

“Saya amat faham kerana satu ketika dahulu, saya pernah hadapi masalah yang sama. Saya selalu rasa suram, hitam, lesu dan letih yang berpanjangan. Terlalu banyak tanda soal dalam kepala (ketika itu),” dedahnya.

Kata pelantun lagu Retak itu lagi, biarpun dilanda kemurungan, dia bersyukur kerana masih ada arwah ibu, Yang Asmah Long dan kakaknya, Jojie pada ketika itu yang menjadi kekuatan untuk dia terus hidup.

“Saya berterima kasih pada mereka kerana kami sama-sama laluinya. Waktu itu saya di puncak karier dan itu bukanlah satu perjalanan yang mudah.

“Cuma saya sedih mengenangkan mereka yang laluinya sendirian sekarang. Moga terus tabah sayang,” tulisnya.

Dalam pada itu, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Rock Malaysia itu turut bercadang untuk mewujudkan sebuah laman Facebook khusus untuk mengurus dan menangani tekanan perasaan.

Ujar Ella, selepas berkongsi tentang kebimbangannya terhadap peningkatan kes bunuh diri di negara ini, dia telah mendapat banyak aduan daripada masyarakat tentang masalah yang mereka alami.

“Ramai yang terpanggil mengadu dalam kotak mesej di Facebook saya. Maafkan saya tidak dapat memberi respon satu persatu. Simpati dan doa yang banyak saya tujukan buat kalian.

“Bagi yang pernah atau sedang mengharunginya, jangan segan untuk sama-sama berkongsi pengalaman okay. Saya akan pastikan info tepay dari yang berpengalaman untuk berkongsi nasihat percuma dan berguna untuk kita semua,” katanya.

Menerusi laman Facebook tersebut, Ella akan kongsikan pelbagai tip daripada pakar bertauliah untuk dikongsikan bersama.

“Sekarang ini zaman susah. Saya dan Azhar (suaminya) pun banyak terkesan. Jadi sama-samalah kita tempuhi segalanya,” kata Ella. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI