Oleh PROF. DR. AZLAN KAMARI
PENULARAN pandemik COVID-19 menyebabkan berubahnya landskap pendidikan negara secara total dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) bermula Mac tahun lalu.
Hakikatnya, kejayaan PdPR menuntut komitmen yang tinggi daripada guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri.
Akhir-akhir ini, ramai ibu bapa menyuarakan keluhan di platform media sosial berkenaan tekanan yang mereka hadapi dalam membantu anak-anak mengikuti PdPR.
Antaranya tidak dapat menyediakan peralatan mencukupi untuk anak-anak bagi mengikuti PdPR.
Umum sedia maklum, PdPR memerlukan penggunaan peranti berskrin seperti komputer, komputer riba, telefon pintar dan tablet, selain akses internet yang baik.
Keadaan menjadi bertambah rumit bagi ibu bapa yang mempunyai anak lebih daripada seorang.
Dalam hal ini, anak-anak perlu berkongsi peranti tersebut secara bergilir-gilir.
Ini mengakibatkan mereka tidak dapat mengikuti sesi bersemuka dalam talian yang ditetapkan oleh guru.
Ibu bapa turut tertekan kerana tidak dapat membantu anak mereka menyiapkan tugasan yang diberi dalam tempoh ditetapkan, lebih-lebih lagi apabila jumlahnya agak banyak.
Di samping itu, terdapat lembaran kerja yang perlu dicetak. Perlu diingat, tidak semua ibu bapa mampu menyediakan pencetak dan dakwat di rumah.
Ini secara tidak langsung menyebabkan anak-anak tidak dapat menyelesaikan tugasan yang diberi dan proses PdPR sedikit terganggu.
Rungutan, keluhan dan tekanan yang dihadapi ibu bapa ada asas dan logiknya kerana selain PdPR, ibu bapa mempunyai komitmen dan tugas hakiki yang perlu diselesaikan.
Bagi ibu bapa yang bekerja dari rumah, sudah tentu perlu memberi keutamaan kepada tugasan yang diberikan majikan khususnya dalam tempoh masa pejabat.
Ibu suri rumah sepenuh masa pula mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan keperluan makan minum dan menguruskan kerja rumah.
Bagaimana pula dengan petugas barisan hadapan?
Mereka perlu bertugas di lapangan tanpa mengira waktu demi memerangi pandemik Covid-19 dan seringkali tidak dapat memberi fokus sepenuhnya dalam membimbing anak-anak untuk mengikuti PdPR.
Tekanan lebih hebat dirasai oleh pasangan suami isteri yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan.
Ramai ibu bapa khususnya daripada golongan B40 sedang bergelut dengan masalah kewangan yang kritikal, malah ada yang kehilangan sumber pendapatan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Perkara 11.1 dan 11.2 dalam Manual PdPR KPM dengan jelas menyatakan, peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak jagaan mendapat maklumat berkaitan sesi PdPR ataupun arahan tugasan kerja rumah yang diberikan guru dan membantu anak-anak jagaan mengakses DELIMa, TV Pendidikan, EduwebTV (koleksi video) dan Cikgootube.
Dalam konteks ini, keprihatinan dan pertimbangan wajar daripada guru amatlah diharapkan bagi mengekalkan motivasi dan momentum ibu bapa dalam menjayakan PdPR.
Tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa boleh diselesaikan melalui beberapa strategi.
Pertama, jumlah tugasan yang diberikan haruslah berpatutan dan tidak membebankan pelajar dan ibu bapa.
Secara umumnya, berbanding pelajar sekolah menengah, murid-murid prasekolah dan sekolah rendah memerlukan bimbingan sepenuhnya daripada ibu bapa.

Jumlah tugasan yang berpatutan akan dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa yang mempunyai lebih daripada seorang anak di peringkat sekolah rendah.
Kedua, jadual waktu PdPR yang bersifat ‘mesra ibu bapa’ seperti dinyatakan pada perkara 2.2.3 dalam Panduan Pelaksanaan Jadual Waktu PdPR KPM perlu diikuti dan dilaksanakan.
Ini penting bagi mendapatkan sokongan berterusan daripada mereka terhadap pembelajaran di rumah.
Ketiga pula, tempoh menyiapkan tugasan yang fleksibel, tidak terlalu rigid. Terdapat murid-murid peringkat sekolah rendah yang perlu terlibat dalam PdPR sekolah kebangsaan dan sekolah agama.
Tempoh menyiapkan tugasan yang fleksibel dapat memberi masa secukupnya kepada murid untuk mempelajari dan memahami topik diajar dan memberi peluang kepada ibu bapa untuk membimbing anak-anak dengan lebih baik.
Keempat, penggunaan buku teks, buku latihan dan buku aktiviti dalam PdPR perlu dimaksimumkan.
Strategi ini sekali gus tidak memerlukan ibu bapa untuk mencetak lembaran kerja. Ia dapat mengelakkan keciciran pelajar dalam pembelajaran akibat tiada pencetak di rumah.
Kelima, perancangan tugasan atau aktiviti PdPR boleh diberikan lebih awal kepada ibu bapa. Ini membantu mereka untuk membuat persediaan bagi memastikan tugasan dapat dijalankan dengan lancar.
Terdapat tugasan yang memerlukan bahan tertentu, sebagai contoh aktiviti bagi mata pelajaran Seni yang memerlukan kotak dan botol minuman kosong.
Sesi perbincangan ini juga boleh dijadikan sebagai platform untuk membincangkan perkembangan pembelajaran pelajar.
Secara keseluruhannya, kedua-dua pihak guru dan ibu bapa perlu bersikap rasional dalam memastikan keberkesanan kaedah PdPR.
Perancangan yang rapi dan sistematik dapat menyelesaikan masalah tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa.
———————————————————————————————————
Prof. Dr. Azlan Kamari ialah
Timbalan Dekan (Pembangunan Akademik dan Pengijazahan),
Institut Pengajian Siswazah,
Unversiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjung Malim, Perak.














