fbpx

Tangisan Palestin terus dibela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 30 tetamu khas dijemput pada program tersebut untuk meluahkan perasaan dan ekspresi mereka melalui bait-bait puisi, nyanyian kerohanian dan tazkirah.

SOKONGAN dan perhatian masyarakat dunia terutamanya daripada rakyat Malaysia kepada rakyat dan bumi Palestin tidak pernah padam memandangkan rejim Zionis terus melakukan pembunuhan dan kekejaman di Gaza dan Tebing Barat.

Kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan rejim Israel terhadap rakyat Palestin merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.

Menyedari hakikat itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak terkecuali bersolidariti bersama masyarakat global memberi sokongan kepada Palestin dan mengecam Israel melalui platform kesenian dengan penganjuran program Munajat Untuk Palestin.

Munajat Untuk Palestin yang berlangsung secara dalam talian menghimpunkan sejumlah 30 tetamu khas yang dijemput untuk meluahkan rasa dan ekspresi mereka melalui bait-bait puisi, nyanyian kerohanian dan tazkirah.

Kesemua mereka terdiri daripada pihak pengurusan, karyawan seni, ikon seni, staf, alumni dan pelajar antarabangsa universiti tersebut.

PERJUANGAN rakyat Palestin yang inginkan kebebasan daripada terus dizalimi rejim Zionis terus mendapat perhatian dan simpati dari seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia. – GAMBAR HIASAN

Penganjuran program itu oleh Pusat Kebudayaan USIM merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan keinsafan dalam hati sanubari umat Islam untuk membantu dan menggambarkan suara kemanusiaan sejagat.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed, suara-suara semangat menentang keganasan Zionis Israel harus ditonjolkan dalam pelbagai bentuk.

“Penentangan kepada musuh yang ingin menghapuskan umat Islam harus ditentang sekeras-kerasnya. Melalui medium seni, kita tampil ke hadapan dan muncul untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin.

“Ini kerana, laungan solidariti daripada suara-suara seni juga mampu meningkatkan semangat kebersamaan kita dengan saudara kita di Palestin,” katanya.

Menurut Ismail, pihaknya berbesar hati kerana beberapa personaliti seni tanah air turut bersama dalam program tersebut, antaranya Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Nash, Siso Kopratasa, Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman dan Muhammad Razin Che Mud.

Perkongsian daripada pelajar antarabangsa USIM yang berasal dari Palestin, Shehab Heba Am mengenai penderitaan yang dialami oleh keluarganya di Gaza yang terlibat dalam serangan Israel semasa Ramadan dan Syawal baru-baru ini juga amat mengesankan.

NASH membacakan puisi bertajuk Darah Gaza.Pengisian Munajat Untuk Palestin yang diadakan secara dalam talian sepenuhnya dimulai dengan nyanyian Seperti Inikah Dunia persembahan nyanyian duet oleh ikon seni dan pelajar USIM, diikuti perkongsian Masjid al-Aqsa: Sebuah Muhabasah daripada karyawan seni USIM dan Ahmad Fedtri Yahya.
Persembahan deklamasi puisi turut disertai oleh Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) universiti itu.

Selain itu, beberapa pelajar antarabangsa USIM dari Jordan, China dan Indonesia turut bersemangat melaungkan solidariti kepada Palestin dengan persembahan puisi yang penuh dengan penghayatan, dibaca dalam bahasa ibunda negara masing-masing.

Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah pula menghuraikan terjemahan surah Ali Imran ayat ke-28 yang mengingatkan orang Islam untuk tidak menjadikan orang kafir sebagai pemimpin dalam kalangan umat Islam.

PROGRAM Munajat Untuk Palestin menerusi platform kesenian dianjurkan secara online oleh warga USIM sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang teraniaya.

Bukan itu sahaja, beliau juga mengajak para tetamu dan penonton untuk melakukan solat hajat dan berdoa sebagaimana yang dilakukan oleh bapa beliau apabila mendapat berita tentang peperangan di Palestin.

Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin memuji pelaksanaan program itu dengan menggunakan pendekatan kreatif dan teknologi semasa untuk disesuaikan dengan norma baharu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beliau juga mengharapkan agar semangat juang dalam diri setiap warga USIM terus berkobar-kobar dalam hal ini, selain sentiasa berdoa untuk kesejahteraan ummah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI