fbpx

Verstappen semakin tunjuk belang pada GP Styria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAX Verstappen meraikan kejayaan menjuarai perlumbaan F1 pada GP Styria di Litar Red Bull Ring di Spielberg, Austria sebentar tadi. - AFP

SPIELBERG – Pemandu Red Bull, Max Verstappen mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu kejuaraan dunia Formula Satu (F1) selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring sebentar tadi.

Selepas memulakan saingan di petak pertama, pelumba dari Belanda itu langsung tidak dicabar apabila menguasai sepenuhnya perlumbaan sejak awal hingga ke garisan penamat.

Meskipun dicabar pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton pada awal perlumbaan, namun Verstappen tetap tenang serta melakukan percaturan terbaik untuk menjarakkan diri.

Ketika perlumbaan berbaki 10 pusingan, Hamilton dilihat sudah berputus asa untuk mengejar pelumba berusia 24 tahun itu apabila ketinggalan lebih 15 saat di belakang.

“Sejak awal perlumbaan lagi saya dapat rasakan jentera berada dalam keadaan terbaik dan sedia untuk berentap. Bagaimanapun, saya tetap berwaspada kerana mahu menjimatkan penggunaan tayar.

“Sudah tentu saya tidak sabar untuk tampilkan aksi lebih baik pada perlumbaan seterusnya. Saya juga yakin kami mampu ulangi prestasi seperti ini,” kata Verstappen sejurus tamat perlumbaan.

Menerusi kemenangan keempat musim ini, Verstappen kini terus unggul memimpin carta kejuaraan dunia apabila mengumpul 156 mata, diikuti Hamilton dengan 138 mata, manakala seorang lagi pelumba Red Bull, Sergio Perez di tempat ketiga menerusi 96 mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI