fbpx

Sindiket `parcel scam’, `love scam’ tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Polis Bukit Aman menumpaskan sebuah sindiket penipuan `parcel scam’ dan `love scam’ dianggotai enam lelaki warga Nigeria dan seorang wanita tempatan berusia antara 33 hingga 42 tahun pada 23 Jun lalu.

Sindiket berkenaan tumpas selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman membuat dua serbuan di sekitar Kajang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua suspek ditahan dan disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) atau Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/62.

“Sindiket ini mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya lapan kes penipuan dan 419 Scam. Siasatan turut mendapati sindiket warga Nigeria ini bergiat aktif sejak lima tahun lalu.

“Mereka memasuki Malaysia menggunakan visa pelajar dan visa lawatan sosial. Walaupun tempoh visa telah tamat, mereka terus tinggal di negara ini secara haram dan menjalankan kegiatan penipuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, sindiket penipuan `parcel scam’ dan `love scam’ itu beroperasi dalam dua kumpulan berbeza iaitu satu kumpulan mencipta akaun palsu di media sosial untuk memperdaya mangsa.

Menurut beliau, satu lagi kumpulan berperanan mencari akaun keldai dan bersekongkol dengan warga tempatan yang akan menyamar sebagai pegawai kastam atau kakitangan syarikat kurier.

Justeru, katanya, orang ramai dinasihati berwaspada dengan kenalan baru media sosial yang mahu menjalinkan perhubungan persahabatan atau percintaan terutama yang menjanjikan hadiah sebagai tanda sayang.

Kata beliau, orang ramai juga diingati jangan mudah terpedaya dengan panggilan telefon atau pesanan WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai pihak kastam atau syarikat kurier yang meminta membuat pembayaran.

“Jangan sesekali membenarkan akaun bank digunakan oleh orang lain atau menyerahkan kad ATM kepada pihak lain. Jangan dedahkan maklumat perbankan anda termasuk nombor akaun, pin atau TAC kepada pihak ketiga.

“Buat pengesahan nombor akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu melalui portal http://ccid.rmp.gov/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun bank dan nombor telefon tersebut pernah terlibat dalam kes penipuan,” katanya.

Tambah beliau. orang ramai diminta menghubungi talian `CCID Scam Response Centre’ di talian 03-2610 1559 atau WhatsApp ke `CCID Infoline’ di talian 013-211 1222 untuk menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersial. – K! ONLINE .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI