fbpx

Remaja rugi RM18,000 ditipu beli iPhone 12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya mampu berputih mata apabila mengalami kerugian sebanyak RM18,000 selepas ditipu semasa membeli sebuah telefon pintar jenis iPhone 12 secara online dua minggu lalu.

Mangsa dipercayai tertarik dengan promosi sebuah akaun Instagram dari negara jiran yang menawarkan sebuah iPhone 12 yang dijual pada harga RM200 seunit pada 13 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, lelaki berusia 18 tahun itu telah berminat dengan promosi daripada akaun yang dikategorikan sebagai ‘Trusted Seller’ itu sebelum membuat tempahan dua buah iPhone yang berharga RM400.

Katanya, lebih menyakin mangsa apabila penjual itu akan memulangkan semula telefon pintar sekiranya pelanggan menerima barangan tidak asli.

“Mangsa telah membuat bayaran RM400 kepada sebuah akaun bank tempatan. Bagaimanapun, mangsa telah dihubungi oleh penjual telefon itu keesokan harinya yang meminta dia membuat bayaran sebanyak RM6,000 ke dua akaun bank tempatan milik individu berbeza bagi tujuan pembayaran kad jaminan telefon tersebut.

“Seminggu kemudian, mangsa telah diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM12,000 ke tiga akaun bank tempatan milik individu berbeza bagi pelbagai tujuan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Ahmad Azizul, mangsa dipercayai telah mengeluarkan simpanan sendiri dan meminjam wang daripada ahli keluarganya untuk melunaskan semua pembayaran telefon tersebut.

Ujarnya, selepas membuat semua pembayaran itu, mangsa telah menerima mesej WhatApps daripada individu menyamar sebagai pegawai penguat kuasa yang mendakwa dia telah membeli barangan import yang tidak dibenarkan pihak berkuasa pada Rabu lalu.

Katanya, mangsa telah diminta membuat bayaran pelepasan RM5,000 ke satu akaun bank tempatan yang lain sekiranya masih berminat untuk mendapatkan telefon berkenaan.

“Mangsa yang tidak membayar jumlah tersebut sekali lagi diminta membuat bayaran pelepasan pada Khamis lalu, namun kali ini ke satu akaun bank negara jiran.

“Merasa dirinya telah tertipu, mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada hari yang sama selepas tidak menerima telefon yang dibelinya.

“Berdasarkan siasatan, nombor akaun bank yang digunakan oleh suspek adalah sama dengan kes penipuan melibatkan seorang mangsa di Pahang dengan kerugian RM1,400 pada 11 Jun lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI