fbpx
NAQIU

Saya belum mati – Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA boleh menyangkal kehangatan sambutan yang diterima penyanyi Naqiu ketika membuat kemunculan semula dalam industri menerusi pentas program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) pada 2019, selepas lebih sedekad menghindari dunia glamor.

Ketika itu, kemunculannya bukan hanya mengubat kerinduan peminat, tetapi pada masa sama membuktikan taringnya masih berbisa meskipun sudah lama tidak membuat kemunculan di hadapan ramai.

Bagaimanapun, selepas dua tahun turun dari pentas yang kembali menggelegakkan namanya, perjalanan semula karier Naqiu sedikit terhalang dek pandemik yang menjengah tanpa diundang.

Hanya sempat mengadakan tiga persembahan sejak keluar GV6, Naqiu mengakui pendapatan dan perancangannya agak terjejas tetapi enggan membiarkan dirinya hanyut dalam rasa kecewa untuk tempoh yang lama.

Dia semakin sedar, sehingga ke hari ini masih banyak didatangi tawaran berbanding daripada orang lain yang jauh lebih terbeban menjalani kehidupan.

“Mula-mula saya agak kecewa tetapi selepas setahun pandemik berlarutan, baru saya sedar apa yang dilalui sendiri tidaklah seteruk berbanding orang lain. Saya belum mati lagi.

“Memang terkesan tetapi alhamdulillah saya masih boleh teruskan hidup seperti orang biasa.

“Ada kawan-kawan lain yang bekerja di kelab bersama dahulu, putus mata pencarian sebab tempat kerja tidak dibuka, sekali gus buatkan saya menghargai nikmat yang ada ketika ini,” ujarnya kepada HibGlam.

MENERUSI Ceria Pop Star, Naqiu yang bertindak selaku ‘inspirer’ banyak berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar kepada peserta cilik berkenaan muzik dan nyanyian.

Lakonan

Perjalanan karier Naqiu ketika ini berjalan lancar dan kemunculan semulanya ditagih ramai bukan hanya pada bidang nyanyian bahkan lakonan dan program televisyen, antaranya Ceria Pop Star selaku pendorong (inspirer).

“Seronok buat banyak benda, sebab memang ini yang saya impikan sewaktu buat kemunculan semula.

“Cuma apa yang orang tak tahu, sebenarnya penglibatan dalam lakonan dimulakan dengan perasaan terpaksa.

“Sampai merajuk dengan pengurus tetapi selepas dipujuk, saya okey. Tetapi selepas berlakon beberapa kali, seronok pula rasanya.

“Sebab daripada lakonan, saya belajar mendalami emosi yang ada hubung kait dengan nyanyian,” jelasnya.

Setakat ini, Naqiu pernah muncul dalam drama Satukan Rasa, dua buah telefilem iaitu 6 Langkah Menghancurkan Ex-boyfriend dan Ting Tong Love serta akan datang sebuah filem komedi arahan Nabil Ahmad.

NAQIU banyak belajar perkara baharu menerusi cabang lakonan meskipun pada awalnya berdepan cabaran dan tekanan untuk memahami tuntutan watak.

Keserasian

Dua tahun selepas kembali aktif dalam industri, Naqiu tampil dengan buah tangan terkini untuk peminat berupa single duet berjudul Rindu Separuh Nyawa bersama penyanyi Vanessa Reynauld.

Menariknya, lagu yang merupakan idea asalnya itu buat kali pertama menyaksikan single duet Naqiu selepas 20 tahun bergelar penyanyi.

“Lirik asal lagu berkenaan ditulis berkisar kisah lain, tetapi ditukar untuk disesuaikan dengan jalan cerita naskhah Rindu Awak Separuh Nyawa tayangan Astro,

“Tetapi saya tidak sangka, ada magis yang berlaku untuk lagu ini kerana selepas ditukar, liriknya sangat kena dengan drama berkenaan.

“Liriknya bergaul mesra dengan melodi. Alhamdulillah, proses rakaman juga berjalan lancar,” katanya.

Ketika ditanya tentang pemilihan dan pengalaman kali pertama bekerja dengan artis baharu seperti Vanessa, penyanyi berusia 35 tahun itu mengakui kagum dengan bakat dimiliki wanita itu.

Selain mencari kelainan dalam berkarya, pemilik nama sebenar Wan Naqiuddin Mohd. Najib itu mahu melakukan sesuatu yang akan diingatinya sampai bila-bila.

“Asalnya ada beberapa nama artis lain tetapi mereka sibuk. Jadi pihak syarikat rakaman Sony Music cadangkan nama Vanessa. Jujur pada mulanya, saya ingat-ingat lupa siapa dia.

“Tetapi saya ingat pernah tengok dia menyanyi. Terpaku mendengar kemerduan suara Vanessa. Dia ada bakat yang unik dan bagus orangnya. Kemampuan vokalnya juga mengagumkan. Jadi saya bersetuju pilih dia,” ceritanya.

Kehilangan daripada radar industri sebenarnya mencipta ruang dan kelompongan dalam aspek keyakinan diri Naqiu, terutama ketika menjayakan sebarang kerja membabitkan orang lain, termasuklah ketika di pentas GV6.

Akui vokalis kumpulan Boboy itu, dia kerap berasa tercicir terutama sewaktu melunaskan tugasan duet kerana sikapnya yang terlalu menghormati regu nyanyian.

SELAIN single duet bersama Vanessa, Naqiu sebenarnya mempunyai sebuah lagi lagu baharu berjudul Masih Ada yang dilancarkan serentak bersama Rindu Separuh Nyawa pada 19 Mac lalu.

Ilmu, duet

“Contohnya, semasa menyanyi bersama Siti Nordiana dan Azmi Saat. Apabila berduet, saya jadi takut untuk keluarkan semua yang saya ada.

“Bukan melengkapi, sebaliknya saya cuma jadi penyokong kepada pasangan duet.

“Daripada situ, saya belajar untuk melengkapi ketika menjayakan lagu duet bersama Vanessa. Itulah konsep duet sebenar, saling melengkapi satu sama lain.

“Ramai orang keliru ingatkan duet adalah persaingan. Bukan sebenarnya. Kalau tidak, lagu yang dibawa itu tidak akan ada keserasian,” katanya.

Biarpun baru pertama kali meluncurkan single duet tetapi menerima sambutan menggalakkan daripada peminat.

Melihat respons sedemikian, Naqiu bagaimanapun menegaskan, fokusnya kini terarah kepada banyak perkara dan bukannya nyanyian semata-mata.

Usai melakukan kemunculan semula dengan menyertai GV6 yang menyaksikannya membawa pulang gelaran juara bersama Hady Mirza, dia menyimpan impian untuk mencuba banyak perkara yang tidak dapat dilakukannya sebelum ini termasuklah berduet, menulis dan mencipta lagu.

AKUI Naqiu, dia kerap dimarahi isteri kerana terlalu memanjakan anak-anak yang kini menjalani sesi persekolahan dari rumah susulan pelaksanaan PKP

“Kalau orang anggap saya akan berduet sahaja selepas ini, tidaklah. Ada banyak lagi perkara lain yang saya nak cuba. Umur sekarang pun bukan muda lagi, sudah 35 tahun.

“Kalau nak buat benda yang sama macam umur 15, tak akan berkembang dan belajar benda baharulah saya,” katanya.

Pelaksanaan Perintah Kawalan (PKP) ketika ini juga tidak banyak memberi perubahan kepada Naqiu, memandangkan selama ini dia gemar duduk di rumah jika tiada urusan.

Cuma tempoh terluang ketika ini mahu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menghabiskan projek menulis lagu yang sebelum ini tergendala kerana kesibukan lakonan.

“Sebenarnya saya ada projek siapkan lagu untuk beberapa orang penyanyi. Ada juga projek kolaborasi dengan artis lain.

“Kepada yang belum tahu, saya ada seorang anak didik. Saya jumpa dia dalam sebuah program realiti.

“Jadi saya tawar dia masuk syarikat pengurusan sama dan sekarang baru siapkan single pertamanya. Akan datang, ada seorang lagi anak murid baharu,” tutupnya.

POPULAR