fbpx

Agong zahir ucapan tahniah kepada atlet paralimpik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster ucapan tahniah daripada Al-Sultan Abdullah.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin kerana berjaya memecah rekod dunia bagi kategori 72 kilogram pada Kejohanan Piala Dunia Angkat Berat Para di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Negara di laman Facebook, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau sekali gus melakar sejarah baru buat sukan angkat berat negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Baginda bertitah, kejayaan Bonnie memecah rekod dunia yang selama ini dipegang atlet dari Iran, Roohallah Rostami, merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan akan datang.

“Pencapaian cemerlang atlet kelahiran Kuching, Sarawak ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” titah baginda di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia.

Baginda berharap agar semua atlet negara bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah serta mengharumkan nama di kejohanan mendatang.

Pada kejohanan kelmarin, Bonnie, 22, memecah rekod dunia dengan angkatan seberat 230kg menewaskan atlet dari China, Peng Yu (214kg) dan atlet dari Nigeria, Nnamdi Innocent (213kg). – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI