fbpx

Vaksin Pfizer dan Moderna tidak jejaskan kualiti sperma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MIAMI, FLORIDA – Satu kajian mendapati lelaki yang menerima suntikan vaksin Pfizer atau Moderna tidak akan mengalami penurunan jumlah sperma atau kualitinya, lapor akhbar New York Post kelmarin.

Kajian tersebut dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Miami ke atas 45 responden yang sihat sebelum menerima suntikan pertama mereka dan 70 hari selepas dos kedua.

Penilaian terhadap kualiti sperma mereka mendapati tiada penurunan signifikan dalam mana-mana parameter sperma selepas menerima dua dos vaksin ‘messenger’ asid ribonukleik (mRNA) itu.

“Disebabkan vaksin-vaksin itu mengandungi mRNA dan bukannya virus hidup, kebarangkaliannya agak rendah untuk vaksin itu memberi kesan kepada parameter sperma,” ujar penulis penyelidikan tersebut, Dr. Ranjith Ramasamy.

Sementara itu, menurut Pengarah Perubatan Bersama, Institut Pembiakan Manusia di Chicago, Dr. David Cohen, kajian tersebut diharapkan dapat menghapuskan kebimbangan dalam kalangan sekumpulan lelaki yang enggan menerima suntikan pelalian Covid-19.

Ini susulan terdapat beberapa laporan awal yang mengaitkan vaksin Pfizer dan Moderna dengan masalah kesuburan.

“Kami kini mempunyai bukti yang dapat memberikan keyakinan kepada orang ramai bahawa risiko suntikan imunisasi terhadap jumlah sperma adalah amat rendah,” katanya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI