fbpx

Usah bagi muka buat si panas baran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KES keganasan rumah tangga kerap berlaku. Jenayah ini tidak mengenal rupa paras, agama, taraf hidup dan latar belakang pendidikan sama ada pelaku mahupun mangsa.

Kelompok profesional juga tak terlepas daripada menjadi mangsa kes keganasan domestik ini.

Minggu lalu, Facebook Kosmo! dihujani komen-komen daripada netizen yang marah dengan seorang peniaga kerana mencederakan isterinya yang hamil hingga koma. Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan selepas lebih sebulan bersembunyi di Lembah Klang.

Di Klang, Selangor pula, seorang isteri muda ditolak sehingga terjatuh dan dikurung oleh suaminya hanya kerana tidak menyediakan sarapan pada Isnin lalu.

Itu hanya secebis kisah keganasan rumah tangga yang dilaporkan kepada polis dan diketahui pihak media.

Ada yang sanggup bayar duit ‘tol’ RM100 kepada pengapit mahu tengok wajah isteri kerana ikut adat resam tebus pelamin. Bila tinggal sebumbung mereka jadi culas, lebih teruk lagi mendera pasangan.

Penderaan fizikal dapat dilihat dengan mata kasar, namun bagi mangsa yang didera secara emosi, ia sukar dihidu dan difahami.

Penulis percaya terdapat banyak kes di luar sana yang disimpan rapi oleh mangsa. Ada yang mengambil sikap ‘mengunci mulut’ kerana bimbang menanggung malu memegang gelaran janda.

Dalam sesetengah kes, ada isteri yang tidak melaporkan kerana suaminya menjadi satu-satunya tempat bergantung hidup disebabkan mereka suri rumah sepenuh masa.

Oleh itu setiap kali dicederakan atau dikasari pasangan, mangsa hanya mendiamkan diri, tanpa menyedari tindakan tersebut memberi kesan besar bukan sahaja kepada mangsa tetapi anak-anak.

Emosi kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran tidak sihat ini juga terganggu. Setiap hari ‘sajian’ mereka hanya kata-kata makian selain sepak terajang.

Sebagai wanita kita perlu tahu hak. Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga?

Keganasan rumah tangga ini bukan hanya melibatkan perbuatan mencederakan pasangan secara fizikal. Meletakkan mangsa dalam ketakutan juga dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga.

Memaksa, mengancam untuk melakukan perbuatan seksual, mengurung, khianat dengan niat menyebabkan sedih juga termasuk dalam kategori dera yang akhirnya menyebabkan mangsa trauma, murung dan paling ditakuti adalah kematian.

Biasanya kes-kes ini berpunca daripada cemburu, dendam, duit dan dadah.

Undang-undang berkaitan keganasan rumah tangga di negara ini sebenarnya sudah mencukupi untuk melindungi misalnya Akta Keganasan Rumah Tangga.

Ramai yang tidak tahu dan ambil tahu perkara ini. Akta ini bukan untuk memecah-belah pasangan, sebaliknya kaunseling diberikan kepada pasangan yang bermasalah.

Untuk kes-kes keganasan teruk yang melibatkan kecederaan, pertuduhan boleh dibuat mengikut Kanun Keseksaan. Yang penting lapor, jangan sudah terhantuk baru terngadah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI