fbpx

Skala selektif Ben Amir, wanita & egois

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEN AMIR

ISU kemunculan ramai pendatang baharu dalam industri ketika ini tercetus apabila kelompok pensohor media sosial mula mencuri perhatian ramai, sekali gus memanggil banyak perdebatan pelbagai pihak.

Ada yang bersetuju, namun tidak kurang juga sesetengahnya bersuara lantang memberi teguran perihal sikap, tanggungjawab, komitmen dan cara kerja bintang-bintang media sosial terbabit.

Kehadiran para pensohor media sosial yang rata-ratanya muncul ‘tangan kosong’ menambahkan para pelakon senior dalam projek sama.

Perkara berkenaan turut mencuri perhatian lelaki pujaan peminat, Ben Amir untuk melontarkan bicara. Persoalan tentang tentang impak kehadiran golongan sedemikian terhadap kerjaya lakonannya turut menjadi topik perbualan.

Jujurnya, pelakon kacak itu mengakui turut memikirkan persoalan serupa, lebih-lebih lagi sekiranya mereka diberikan peranan memegang watak utama dalam sesebuah naskhah. Menjadikan keadaan lebih kompleks katanya, kebanyakan pensohor media sosial tidak ada pengalaman berlakon.

BERCAKAP tentang respons, Ben bersyukur kerana peminat ikut teruja melihat kemunculannya menerusi drama Diva Popular, selain beranggapan naskhah tersebut memainkan peranan besar menghiburkan ramai orang mendepani saat sukar seperti sekarang. – INSTAGRAM BEN AMIR

“Kalau setakat diberi watak pembantu, okeylah. Tapi kalau nak dipadankan dengan saya sebagai watak utama, berkiralah juga.

“Sebab saya agak selektif untuk tahu siapa pelakon yang akan bekerja dalam sesebuah naskhah. Dari situ saya kenal dan tahu tentang komitmen kerjayanya.

“Bikin sebuah karya bukan seorang punya kerja. Kalau jenis yang tak fokus dan mengharapkan nama saja terkenal tidak guna juga. Kalau boleh saya memang tak mahu bekerja dengan orang sebegitu, sebab nanti akan susahkan diri sendiri,” luahnya jujur.

Ben sendiri mengakui, pengalaman bekerja dengan golongan tersebut sebelum ini membuatkan dirinya berasa ‘serik’.

“Pernah juga saya jalani penggambaran dengan orang macam ini. Berbelas kali ulang rakaman, jadi sangat mengacau ‘mood’,” katanya.

Bersua dengan Ben menerusi panggilan video sempena kemunculan menerusi naskhah komedi, Diva Popular baru-baru ini, dia banyak berbicara tentang pengalaman berlakon dengan rakan-rakan artis seperti Nabila Huda dan Tiz Zaqyah.

SERONOK menjayakan kerja komedi, Ben menyifatkan suasana dan lokasi penggambaran drama Diva Popular untuk siaran Awesome TV berjaya menghilangkan rasa gementar dan tekanan yang dialaminya.

Komedi

Kata lelaki berusia 30 tahun itu, biarpun gementar pada awalnya kerana melihat gandingan pelakon yang bukan calang-calang, namun keseronokan mengatasi segalanya.

Lebih utama, tawaran tersebut melunaskan impiannya untuk bekerja dengan pelakon-pelakon hebat, apatah lagi drama arahan Rashid Sibir berkenaan memaparkan sisi berbeza Nabila Huda.

“Masa tahu nama mereka (Nabila dan Tiz) dalam senarai, saya terus setuju sebab memang dah lama nak bekerjasama dengan kedua-dua mereka.

“Dapat pula cerita komedi dan saya tidak pernah tengok sisi lain Nabila. Ini kerja yang sangat menyeronokkan bagi saya,” katanya teruja.

Dramatis yang cukup dikenali dengan watak lelaki romantik itu juga tidak pernah serik mencuba naskhah berbeza lebih-lebih lagi nuansa komedi.

Cuma, peraih trofi Pelakon TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33) itu akur dengan kesukaran mencari naskhah berjalur komedi yang benar-benar sesuai dengannya selepas ini.
“Kalau ditanya, mana paling susah antara watak komedi dengan serius, dua-dua ada cabaran.

“Sebab watak komedi tak boleh dipaksa untuk buat lawak, nanti nampak bodoh. Jadi untuk buat nampak semula jadi, itu yang susah.

“Saya harap selepas ini ada lagi tawaran berlakon naskhah komedi. Cuma saya akui, agak sukar mencari yang betul-betul sesuai,” katanya lagi.

BIARPUN pernah terselamat daripada jangkitan Covid-19 berikutan terlibat dalam penggambaran drama Demi di Scotland bersama pelakon Puteri Aishah sekitar April tahun lalu, Ben tidak mahu terlalu selesa, sebaliknya sentiasa berjaga-jaga, selalu bersenam dan belajar mengawal tekanan.

Pandemik

Teruja menjadi sebahagian daripada naskhah yang berjaya mengukir tawa penonton dalam suasana mencabar ketika ini, Ben juga banyak menempuh implikasi bahana penularan Covid-19 yang tidak dijangka.

Katanya, banyak kerja yang tertunda termasuklah filem, telefilem dan lebih lima buah drama yang masih menunggu waktu untuk direalisasikan.

Keadaan tersebut sekali gus menepis dakwaan bahawa populariti yang diraih menerusi ABPBH33 tempoh hari sekadar angin lalu, sebaliknya Ben sentiasa diburu rumah produksi.

“Disebabkan pandemik, tergendalalah semua kerja, termasuklah ada yang sepatutnya ke luar negara.

“Tapi benda ini tak boleh dikawal. Saya pula naik (popular) pada zaman pandemik, jadi sekarang tunggu sahajalah,” katanya yang kini banyak menjana pendapatan menerusi kerjasama dengan jenama komersial.

BEN mengakui banyak tawaran menarik dan mencabar dirinya memainkan watak berbeza, namun semua penggambaran masih tertunda susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Wanita istimewa

Masih menutup rapat soal kekasih daripada pengetahuan umum, Ben bertegas bahawa hatinya belum dimiliki mana-mana wanita istimewa.

Memberi respons ringkas, seraya bertegas masih solo, lelaki itu turut menjelaskan tentang status sebenar hubungannya dengan pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha.

Sebelum ini, mereka pernah dikaitkan mempunyai hubungan istimewa gara-gara tular sekeping foto menyaksikan kedua-dua mereka sedang menjamu selera di sebuah restoran sekitar November tahun lalu.

Menjelaskan sejauh mana hubungan yang tercipta, pelakon drama Sang Pewaris itu berkata, mereka tidak lebih sekadar daripada rakan biasa.

“Tak adalah. Saya dan Daiyan cuma berkawan sahaja. Tiada apa-apa pun (hubungan istimewa).

“Jika ada wanita yang boleh memberi nasihat, ketepikan ego dan pandangan saya, maka dialah orangnya. Tetapi setakat ini belum jumpa lagi,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI