fbpx

Bergelak ketawa dengan Arwah Pak Mat, Lif & AJK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KISAH komuniti flat yang berdepan pelbagai kerenah dan masalah persekitaran golongan kelas ketiga iaitu penduduk rumah flat di ibu kota menjadi subjek dalam penceritaan Khir Rahman dalam Arwah Pak Mat, Lif & AJK.

NAMA pelakon, pelawak, penyanyi, penulis skrip dan pengarah berkaliber Khir Rahman bukan lagi asing di persada seni tanah air.

Bakatnya dalam arena komedi juga semakin terserlah. Lebih membanggakan apabila dia berjaya dinobatkan sebagai juara menerusi kumpulan JBORN dalam Muzikal Lawak Superstar (2019).

Istimewa buat peminat dan penonton yang sentiasa menantikan hasil kreatif bintang hebat itu, Astro Shaw membawakan sebuah filem komedi terbaru arahan Khir Rahman berjudul Arwah Pak Mat, Lif & AJK bermula 10 Jun lalu menerusi saluran 480 Astro First.

Filem komedi satira tersebut mengisahkan Nordin, seorang pekerja kilang yang menjaga bapanya dan tinggal bersama di tingkat 25, Flat Seri US.

KEMBALI ke arena perfileman, Khir Rahman memilih genre satira komedi untuk filem baharunya berjudul Arwah Pak Mat, Lif & AJK yang kini disiarkan menerusi Astro First.

Apabila penduduk flat sedang meriah melangsungkan pemilihan presiden dan ahli ahli jawatan kuasa untuk musim baharu, mereka dikejutkan dengan kematian bapa Nordin.

Keadaan bertambah kecoh selepas lif flat tersebut rosak dan perlu mengambil masa yang lama untuk dibaiki.

Jadi, Nordin dengan bantuan penduduk flat harus membawa turun jenazah bapanya menggunakan tangga. Pelbagai cabaran dan halangan mereka perlu tempuhi. Namun, hidup berkomuniti menyatukan mereka.

Menariknya filem ini membariskan pelakon dan pelawak terkenal tempatan dalam mendukung watak-watak utama, seperti Joey Daud, Ropie, Taukeh Jambu, Jalil Hamid, Anas Ridzuan, Man Raja Lawak, Sathia, Douglas Lim, Wan Gegau, Nizam Jentik-Jentik, Souya, Che Mat, Kimmy Low, Shendo Kiut, Shiela Mambo dan pelakon Wafariena.

Istimewanya, penonton juga bakal menyaksikan sisi berbeza Joey Daud menerusi karakter Nordin. Meskipun filem ini ditampilkan dalam genre komedi, namun penyampaian karakter Nordin dilihat lebih serius.

Menurut Khir, filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK merupakan kemunculan filem terkininya selepas 10 tahun mengarah filem Dalam Botol…(2011)

“Kali ini saya tampilkan sebuah karya bergenre komedi satira. Walaupun padat dengan kisah komedi serta jalan cerita yang santai, namun istimewanya naskhah ini saya cuba mengangkat tentang nilai hidup berkomuniti dan ada pengajaran yang cuba disampaikan.

JOE DAUD menjadi subjek utama pergerakan naratif dalam filem Arwah Pak Mat, Lif & AJK.

“Antaranya mengingatkan kesedaran tentang hidup majmuk dan mengambil berat tentang jiran tetangga. Dalam kehidupan masyarakat sekarang ini, sentiasalah bertegur sapa dan membantu antara satu sama lain agar tiada yang rasa keseorangan,” kata Khir.

Khir turut berharap kehadiran filem tersebut mampu menarik perhatian penonton untuk terus kekal di rumah dan menikmati hiburan bersama keluarga.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata dalam situasi negara yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 sekarang, penonton banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.

“Kami yakin penonton inginkan filem yang mampu membuatkan mereka keluar seketika daripada tekanan dan berhibur serta ketawa bersama keluarga mahupun teman.

“Memahami kehendak penonton, kami terus memainkan peranan dengan membawakan filem-filem pelbagai genre dalam memberi pilihan kepada mereka,” kata Raja Jastina.

Bukan itu sahaja, Astro Shaw juga sentiasa berusaha menyediakan dan mengetengahkan bakat-bakat kreatif tempatan untuk ditonjolkan.

“Kami berharap kelainan dan sentuhan beliau yang tersendiri turut mampu memberikan kepuasan berbeza kepada penonton,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI