fbpx

Import lembu, kerbau dari Thailand digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ronald memberikan makanan kepada lembu ketika melawat PPK Sabak Bernam.

SABAK BERNAM – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah menggantung pengimportan ternakan lembu dan kerbau daripada Thailand berkuatkuasa Isnin lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, penggantungan dibuat melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar ( JPV ) selepas haiwan bagi tujuan pembiakan dan penyembelihan dari Thailand didapati terjangkit Lumpy Skin Disease (LSD).

“Langkah ini bagi mencegah risiko kemasukan virus LSD menerusi pengimportan ternakan hidup.

“JPV akan terus mengaktifkan program survelan di lapangan menerusi pemeriksaan fizikal di semua ladang dan kandang ternakan di seluruh negara bagi mengesan ternakan terjangkit LSD,” katanya selepas melawat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya, di sini.

Ronald memberitahu, tindakan pengawalan dan pencegahan LSD adalah melalui prosedur operasi standard (SOP) Kawalan Penyakit Berjangkit dan SOP Pengurusan Ternakan di Lapangan.

Beliau turut mengingatkan penternak untuk mempertingkatkan amalan peladangan yang baik dari aspek biosekuriti, kebersihan ladang, kawalan makhluk perosak, sumber air bersih dan sumber makanan daripada pengilang yang mempunyai pensijilan Good Manufacturing Practices (GMP).

“Ini bagi memastikan pengeluaran ruminan tidak terjejas dan menjamin kelestarian industri itu di negara ini.

“Selain itu, kepentingan adalah disebabkan Tahap Sara Diri (SSL) daging lembu masih berada pada sekitar 22.3 peratus dan negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI