fbpx

Hati-hati, scammer tak pernah tidur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KATA orang, jerat tak pernah lupakan pelanduk, hanya pelanduk yang selalu lupakan jerat. Mungkin ada benarnya perumpamaan ini yang sedikit sebanyak menyentuh aktiviti harian kita. Ini termasuklah perhatian kita kepada sindiket yang suka mengambil kesempatan dengan pelbagai tipu helah atau scammer untuk menipu duit orang ramai jika tidak berhati-hati.

Jika sebelum ini, sindiket penipuan kewangan berkenaan melakukan penipuan dengan modus operandi menyamar sebagai pegawai kastam, polis, hospital, pegawai mahkamah dah sebagainya.

Selepas taktik itu terbongkar, mereka terus menukar strategi lain untuk terus memerangkap mangsanya yang leka walaupun di kala negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Jadi kebanyakan orang yang terbiasa dengan taktik lama itu mungkin terpedaya dengan strategi baharu yang dilakukan scammer terbabit seolah-olah ia adalah tulen.

Tidak sampai dua minggu lalu, seorang sahabat menerima satu panggilan telefon daripada seorang wanita yang manis dan tersusun tutur katanya persis seorang pegawai bank atau syarikat telekomunikasi berpengalaman melayan pelanggan.

Wanita itu mengatakan dia membuat panggilan daripada satu bahagian di sebuah bank ternama. Pada masa itu, sahabat ini telah curiga dan dalam hati berkata ia adalah scammer, tetapi untuk mengetahui permainan licik wanita itu, dia layan sahaja.

Tidak seperti scammer terdahulu yang menyamar dari mahkamah, kastam atau balai polis yang meminta kita menunggu di talian untuk disambung, wanita itu hanya minta maklumat yang dia ada disahkan dan tidak terperanjat semuanya tepat.

Tidak mahu berpanjangan, sahabat ini bertanyakan atas sebab apa panggilan itu dibuat dan wanita itu memaklumkan bahawa ada pihak ketiga menggunakan akaun sahabat ini dan mengeluarkan wang dalam amaun puluhan ribu ringgit.

Sahabat itu kemudian memaklumkan akaunnya hanya mempunyai baki tidak sampai RM100. Wanita itu terus memutuskan talian.

Ini membuktikan scammer tidak pernah ‘tidur’ walaupun di musim PKP 3.0 dan kekal aktif untuk memperdaya duit mangsa jika mereka terjebak dengan perangkap yang dipasang.

Apa yang memeranjatkan, masih ramai orang di luar sana terpedaya dengan taktik scammer yang pelbagai biarpun banyak kali Bank Negara Malaysia dan agensi penguatkuasaan seperti polis dan Majlis Keselamatan Negara giat menjalankan kempen kesedaran mengenai penipuan kewangan, namun masih ada lagi orang awam menjadi mangsa penipuan ini.

Ramai lagi yang kerugian ribuan, malahan ratusan ribu ringgit gara-gara terpedaya dan terpesona dengan bermacam scammer di alam maya seperti macau scam, loverscam dan sebagainya.

Sepatutnya, walau taktik apa yang digunakan oleh scammer, jika boleh menghidu penipuan mereka apabila meminta yang bukan-bukan seperti nombor kod kebenaran transaksi (TAC) daripada pihak bank. Jadi berhati-hatilah semua, jangan jadi mangsa. Kita jaga kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI