fbpx

Sultan Johor bantu mangsa ribut di Pontian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mejar Cina Datuk David Wong menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Kanpung Sungai Bunyi, di Pontian, disini, hari ini, turut sama Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Daerah Pontian, Datuk Ng Sea Bu (Kiri). - FOTO: KREDIT ROYAL PRESS OFFICE

PONTIAN – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan bantuan segera kepada 15 mangsa ribut di Kampung Sungai Bunyi, Mukim Rimba Terjun, Pontian, kelmarin.

Sultan Ibrahim bertitah, kos bantuan membaik pulih rumah-rumah yang terjejas ditanggung oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan kontraktor yang dilantik akan melakukan kerja dalam kadar segera.

Wakil Sultan Johor, Mejar Cina Datuk David Wong turut meluangkan masa melawat kediaman penduduk dengan diiringi Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Daerah Pontian, Datuk Ng Sea Bu.

David Wong turut menyampaikan kurniaan peribadi Sultan Johor kepada setiap keluarga beserta barangan keperluan makanan daripada YSIJ.

“Baginda Tuanku Sultan amat prihatin dengan kejadian yang menimpa penduduk di mana kebanyakan rumah mengalami kerosakan teruk. Baginda juga menitahkan supaya kerja-kerja membaik pulih dimulakan segera.

“Kerja-kerja baik pulih ini dijangka siap dalam tempoh dua minggu dengan dipantau oleh Datuk Ng yang juga merupakan sukarelawan YSIJ,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Menceritakan detik-detik cemas, seorang mangsa yang juga pesara tentera, Sukarno Sakir, 68, berkata, sewaktu kejadian dia sedang mengambil air sembahyang, sebelum kedengaran bunyi kuat.

Katanya, dia bersama isteri dan seorang cucu ketika itu berlari ke arah dapur untuk berlindung selepas melihat bumbung rumah diterbangkan angin kencang.

“Saya bersyukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku walaupun kejadian berkenaan menyebabkan kerosakan teruk di bahagian bumbung rumah saya,” katanya.

Seorang lagi mangsa ribut, Kasmani Sulaiman, 41, bersyukur di atas bantuan segera yang dihulurkan Baginda Tuanku Sultan dalam meringankan beban mangsa-mangsa.

“Kediaman saya turut mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung hingga berlaku pintasan elektrik kerana air hujan mencurah masuk,” jelasnya.

Tambah dia, dengan dibantu oleh isteri dan anak-anak telah mengalihkan pelbagai barangan di ruang tamu termasuk perkakas elektrik ke tempat lain kerana bimbang akan turut rosak dibasahi air hujan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI