fbpx

Catat 9A walau terpaksa guna WiFi rumah opah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Firzannah menunjuk keputusan SPM beliau yang memperoleh 9A sambil mencium ibunya Faridah Shaari di sini, hari ini.

PARIT – Tinggal di kawasan kampung tanpa kemudahan internet kerap memberi tekanan kepada Nurul Firzannah Mohd Azman, 18, kerana sering ketinggalan sesi pembelajaran dalam talian lalu terpaksa melihat semula video yang dimuat naik guru di laman YouTube selain bertanya rakan-rakan.

Kesabaran mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akhirnya berbalas apabila pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Aziz, Parit ini memperoleh keputusan semua A dalam sembilan mata pelajaran diambil.

Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Aziz, Parit ini berkata, tinggal di kawasan kampung merupakan cabaran buat dirinya ekoran berhadapan masalah rangkaian jalur lebar.

Anak kepada pekebun sawit dan tukang jahit ini berkata, dia terpaksa menggunakan jaringan tanpa wayar (WiFi) di rumah nenek saudaranya yang berhampiran dengan kedai jahit ibunya.

“Ketiadaan internet di rumah kadangkala buat saya rasa tertekan kerana selalu ketinggalan, namun saya anggap ini semua cabaran dan bagi mengurangkan tekanan saya sering bangun tengah malam menunaikan solat sunat tahajud.

“Selesai solat saya mula ulang kaji pelajaran sehingga azan Subuh dan menyambung semula selepas menunaikan solat Subuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Medan di sini.

Kata Nurul Firzannah, dia juga sentiasa mengingatkan diri sendiri agar tidak menjadikan masalah ketika mengikuti PdPR sebagai halangan untuk berjaya dalam SPM dan berusaha sebaik mungkin,.

Ditanya perancangan selepas ini, Nurul Firzannah memaklumkan dia kini sedang menyambung pelajaran di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar bagi mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang pengajian Bahasa Arab.

Sementara itu, keputusan memperolehi 9A ini turut diraikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang menyampaikan saguhati berjumlah RM1,000 di atas kejayaan Nurul Firzannah.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI