fbpx
Sebuah stesen minyak di Kampung Tanah Putih, Gua Musang didapati masih beroperasi meskipun sudah pukul 12.05 tengah malam tadi.

Stesen minyak beroperasi lebih masa dikompaun RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Tindakan pemilik sebuah stesen minyak di sini yang ingin meraih keuntungan lebih dengan beroperasi melebihi had masa perniagaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh membawa padah apabila dia dikompaun sebanyak RM10,000 semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Gua Musang, Mohd. Koma Shapii berkata, stesen minyak yang di Kampung Tanah Putih itu dikesan masih beroperasi meskipun sudah pukul 12.05 tengah malam.

Katanya, kesalahan itu disedari oleh tiga anggota penguatkuasa KPDNHEP ketika melakukan rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekitar bandar ini.

“Hasil pemerhatian yang dilakukan terdapat beberapa buah kenderaan masih mengisi minyak di stesen berkenaan.

“Tindakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) telah dikeluarkan terhadap pemilik stesen minyak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Koma, kompaun itu dikeluarkan selepas premis berkenaan beroperasi melebihi waktu dibenarkan bagi perniagaan stesen minyak bukan bertol yang bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 8 malam sahaja.

Tambahnya, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang dilakukan dan pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan SOP akan terus dijalankan. – K! ONLINE