fbpx

Semangat Veto MK, DJ Cza, Loca & Tuju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT kuasa 'Veto' (dari kiri), MK, DJ Cza, Loca B dan Tuju,

SAAT jari-jemari ligat menekan papan kekunci menyiapkan tulisan ini, lagu berjudul Veto belum dilancarkan secara rasmi.

Tatkala dunia dilanda pandemik, keselamatanlah yang paling penting untuk kita semua. Berpucuk pangkal dari situ, DJ Cza, Tuju, Loca dan MK, barisan hadapan jagoan hip-hop masa kini bersetuju untuk melancarkan Veto, keluaran Def Jam Recordings Malaysia.

Buat mereka yang dekat dengan genre ini, hip-hop boleh dianggap seperti satu cabang muzik yang sentiasa berjuang untuk hidup, menjadi kukuh dan tidak termusnah.

Mana-mana karya yang berdiri bawah payung aliran muzik tersebut juga mampu menaikkan semangat dan mengajar kita menentang rintangan.

VETO kolaborasi antara DJ Cza, MK, Tuju dan Loca kini sudah berada di semua pelantar muzik digital.

Ilham musim pandemik

Bagi Cza, Tuju, Loca dan MK, setiap daripada mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan untuk berada di tahap yang dikecapi sekarang.

Satu perkara yang membezakan perjuangan mereka ialah semangat kental yang menghalang hadirnya selimut putus asa.

Saat ditebak pertanyaan apa maknanya Veto kepada mereka, masing-masing sepakat memaknakan perkataan tersebut sebagai kuasa.

Cza percaya andai ada fokus untuk mencapai kejayaan dan matlamat, sesukar mana pun keadaan, setiap impian akan tercapai.

“Veto sebuah lagu berunsur motivasi, dan ritmanya membangkitkan semangat seolah-olah menciptakan sesuatu daripada kosong dengan cara berfikiran positif dan tidak menoleh ke belakang.

“Semangat kental ini ketara dalam lagu ini sehinggalah irama muziknya,” ujar.

Menurut Tuju, Veto diilhamkan daripada lagu Dior oleh bekas bintang hip-hop, Pop Smoke.

“Sebab itu anda akan mendengar gaya dan lenggok daripada ‘Brooklyn drill’ dalam lagu ini.

“Sulaman bass dan perkusi yang digabung dengan baik digarap dengan perisa Asia Tenggara menjadikannya sebuah karya penuh jiwa yang hebat dengan bunyi yang luar biasa,” kata Tuju atau nama lengkapnya, Muhammad Azri Shah Awang Zamri.

Banyak telah berlaku dalam dunia hip-hop negara sejak kebelakangan ini. Perihal itu boleh dibuktikan dengan untaian kejayaan yang digapai pemain-pemainnya.

Tidak boleh dinafikan bahawa genre hip-hop tidak lagi dipandang serong oleh segelintir pihak. Lihatlah penerimaan ramai terhadap lagu Gila nyanyian Loca B, Kaka Azraff dan Noki yang mudah menjadi siulan.

TIDAK meletakkan harapan tinggi untuk Veto menyerlah sehingga menang anugerah, Cza, Tuju, Loca dan MK sudah cukup lega apabila dapat berkongsi karya kepada khalayak.

Hip-hop Malaysia

Pada masa sama, lagu hip-hop ikonik negara, Alhamdulillah dendangan Too Phat masih kekal malar hijau di hati peminat. Hal itu dipersetujui Tuju.

“Saya bangga tengok kawan-kawan nyanyi lagu hip-hop dan dihibridkan dengan rentak irama Malaysia atau Melayu klasik. Rasa seronok.

“Kalau bukan kita yang buat semua ini, siapa lagi? Bagi saya, trend buat lagu begitu satu perkembangan yang baik dan sihat buat industri kita.

“Kalau dahulu lagu rentak Irama Malaysia kian dilupakan tetapi dengan adanya idea-idea yang bagus macam sekarang, akan melazimkan lagi khazanah muzik kita,” katanya.

Seorang lagi pelantun Veto, Loca B terus melangkah membuktikan seorang wanita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan lelaki.

PASANGAN hip-hop, Tuju dan Loca B bangga dengan perhatian dan pencapaian muzik hip-hop negara ketika ini.

Persaudaraan

Dengan kejayaan yang diraih di pentas Anugerah Juara Lagu edisi lalu, Loca atau nama lengkapnya, Nabilah Hani Azali merupakan penyanyi rap wanita pertama yang berjaya diangkat sebagai juara.

Membawa panji semangat sama, kata Loca, tiada apa yang mustahil dalam dunia ini. Kalau orang lain boleh buat, kita pun boleh buat.

“Dahulu orang fikir, penyanyi perempuan di Malaysia tak patut nyanyi hip-hop. Tak manislah, tak boleh tandingi kaum lelaki. Saya cuma nak buktikan yang kita semua boleh buat apa yang kita nak buat. “Lelaki atau perempuan, peluang kita sama. Pucuk pangkalnya usaha. Ada usaha, kejayaan pasti menunggu.

“Saya juga nak buktikan walaupun bergelar isteri dan ibu, saya masih boleh kejar cita-cita iaitu menyanyi hip-hop. Kalau anak saya dah besar nanti, saya nak mereka bangga dengan apa yang saya capai,” kata Loca.

Daripada kaca mata kebanyakan khalayak, MK pula dilhat sebagai anggota kumpulan K-Clique yang paling menonjol. MK atau nama lengkapnya, Muhammad Hairi Amin memiliki jumlah pengikut paling ramai dalam media sosial, paling digilai wanita dan mungkin paling banyak kisah sensasi.

MK percaya, pencapaian yang diraihnya sama ada secara individual atau berkumpulan lahir daripada kerja keras dan semangat persaudaraan yang kuat bersama K-Clique. – GAMBAR UNIVERSAL MUSIC

Bagi MK, tiada istilah siapa lagi popular, siapa lagi berjaya dalam K-Clique. Kecemerlangan individu ialah kecemerlangan berkumpulan.

“Noki berjaya dalam AJL, kita tepuk tangan, Tuju keluar lagu baharu, kita semua ada di belakang memberikan sokongan. Itu akan kekal sebegitu sampai bila-bila,” kata MK.

MK dan rakan-rakannya yang lain tidak akan punya kuasa ‘veto’ seperti sekarang kalau tidak berdamai dengan pahit jerih kesusahan.

“Kalau cakap pasal kemanisan yang telah dikecapi, memang tak terungkap. Kami bekerja keras tetapi amat mementingkan persaudaraan.

“Jatuh bangun kita bersama dan saya percaya, itulah kunci untuk berjaya dalam hidup. Kemanisan takkan ada kalau tiada rasa pahit,” tutur MK.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI