fbpx
Pelaku kelihatan masuk ke kawasan surau perempuan sebelum melondehkan kain dan melakukan aksi tidak senonoh kepada dua wanita. -Instagram

Lelaki berkelakuan tidak senonoh terhadap dua wanita di surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Aksi seorang lelaki berkelakuan tidak senonoh terhadap dua jemaah wanita ketika mereka solat di sebuah surau dirakam sistem televisyen  tertutup (CCTV) dan menimbulkan kemarahan orang ramai.

Dalam kejadian di Surau Al-Amin, daerah Jatinegara di Jakarta Timur itu, seorang lelaki memakai baju-T berwarna kelabu dan kain pelikat dilihat memasuki ruang solat wanita.

Ketika salah seorang jemaah sedang solat, lelaki itu  melondehkan kain yang dipakai dan berdiri di belakang wanita tersebut sambil berkelakuan tidak senonoh.

Dia kemudian pergi ke arah seorang lagi wanita dan melakukan aksi serupa. Namun, salah seorang jemaah kemudian menyedari perbuatan lelaki tersebut dan menghalaunya keluar.

Menurut kenyataan di Instagram @martapurapedia, lelaki tersebut berjaya ditangkap polis Jatinegara.

Rata-rata netizen yang menonton video itu marah dengan tindakan lelaki tersebut.

“Ini menyedihkan kerana hal sebegini menjadikan wanita takut untuk bersolat di masjid,” tulis seorang netizen.

“Orang sedang solat pun diperlakukan begitu, kasihan,” kata seorang lagi netizen.

Video tersebut sudah ditonton hampir 3,000 kali. -Agensi