fbpx

Tiga kaki judi parah terjun bangunan elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A. Asmadi Abdul Aziz (kiri) menunjukkan permainan judi jenis Jim Rami batu yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Ipoh hari ini.

IPOH – Tindakan nekad tiga kaki judi terjun dari tingkat tiga sebuah rumah kedai di Kampung Simee di sini semalam membawa padah apabila masing-masing cedera pada badan termasuk pinggang dan tulang rusuk.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, tiga lelaki itu ditahan bersama lapan lelaki lain dalam serbuan oleh pegawai dan anggota Balai Polis Sungai Senam pada pukul 4.15 petang.

Katanya, ketika serbuan kesemua lelaki berusia antara 41 hingga 66 tahun itu sedang leka bermain judi jenis Jim Rami batu.

“Terkejut dengan kehadiran polis, tiga lelaki cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga namun mengalami kecederaan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

“Seorang daripadanya patah pergelangan tangan, bahu dan pinggang manakala dua lagi masing-masing patah kedua-dua kaki dan tulang rusuk serta tangan kiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Menurut A. Asmadi, siasatan mendapati, premis tersebut disewa oleh seorang daripada kumpulan lelaki yang ditahan sejak empat bulan lalu kononnya sebagai tempat berehat dengan sewa RM400 sebulan.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada premis itu juga digunakan sebagai lokasi untuk aktiviti tidak bermoral lain.

“Dalam serbuan itu, kita merampas dua buah meja Jim Rami, 114 batu Jim Rami, dua biji dadu, 119 biji token dan tujuh kerusi. Permainan judi ini menggunakan token sebelum ditukar dalam bentuk wang tunai.

“Kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada 10 lelaki manakala pemilik premis pula dikompaun RM25,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Kesemua lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis sehingga laporan pakar judi diperolehi manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI