fbpx

Kaunter PTPTN tutup selama 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perkhidmatan kaunter Pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Negeri dan Cawangan di seluruh negara ditutup bermula 1 Jun sehingga 14 Jun 2021.

Penutupan ini adalah selaras dengan pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh Fasa Pertama selama 14 hari bermula hari ini.

PTPTN dalam kenyataan berkata, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), pihaknya sentiasa prihatin dan peka serta mengambil berat terhadap keperluan pelanggan.

“Bagi meneruskan perkhidmatan dan juga memudahkan urusan semua pelanggan, PTPTN telah menyediakan kemudahan perkhidmatan yang lebih selamat dan cepat iaitu perkhidmatan secara dalam talian (online) melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my bagi urusan permohonan pinjaman, bayaran balik pinjaman, pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“PTPTN turut memberi kelonggaran dan pemanjangan tempoh bagi penghantaran Dokumen Tawaran dan Perjanjian Pinjaman PTPTN,” kata PTPTN dalam kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, dokumen bagi kelulusan baharu bertarikh 7 Mei 2021 juga dilanjutkan tempoh penghantaran sehingga 28 Jun 2021.

Katanya, bagi peminjam yang telah diluluskan pertukaran Ujrah mulai Mei 2021 dan penstrukturan semula pinjaman bulan Jun 2021, proses boleh dibuat dengan penghantaran dokumen selewat-lewatnya pada 30 Jun 2021.

“Pelanggan PTPTN juga boleh menghubungi PTPTN melalui Perkhidmatan Live Chat PTPTN yang beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

“Perkhidmatan Live Chat PTPTN merupakan saluran alternatif yang boleh diakses oleh para pelanggan dengan mudah dan cepat. Pelanggan hanya perlu melayari Portal Rasmi PTPTN dan klik pada ikon Live Chat,” katanya.

Selain kemudahan Live Chat, pelanggan juga boleh menggunakan saluran eAduan melalui Portal Rasmi PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my) atau Media Sosial Rasmi PTPTN (Facebook/Twitter/Instagram) atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN di seluruh negara melalui nombor telefon yang dipaparkan di Portal Rasmi PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn).

Talian Careline PTPTN di 03-2193 3000 juga terus kekal beroperasi pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI