fbpx
Gambar hiasan

Atlet Paralimpik nadi kejayaan sukan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

TAHUN 2016 meninggalkan memori indah buat rakyat Malaysia berstatus orang kelainan upaya (OKU) apabila atlet para­limpik negara tampil cemerlang meraih tiga pingat emas dan satu gangsa di temasya Sukan Para­limpik Rio de Janeiro, Brazil.

Kejayaan oleh Moha­mad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly itu turut menjadi inspirasi buat anak-anak dalam kategori Murid Berkeperluan Khas (MBK) untuk lebih berjaya.

Sudah pasti perjalanan menghasilkan seorang juara dunia daripada golongan OKU bukan mudah, namun mereka telah buktikan kekurangan itu bukan penghalang untuk mencipta nama di persada dunia.

Rentetan kejayaan itu, pelbagai usaha dilakukan sehingga­ membolehkan 12 atlet para negara mengisi slot ke temasya Paralimpik Tokyo bermula 24 Ogos hingga 5 September ini.

Kejayaan itu memberikan gambaran cerah mengenai potensi atlet paralimpik negara untuk meraih lebih banyak pingat buat negara.

Bagi Presiden Majlis Para­limpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, dia menuntut sokongan tidak berbelah bagi terutama kepada anak-anak OKU agar mendapat peluang untuk menggembangkan bakat mereka.

“Saya akui masih ada yang memandang sinis terhadap golo­ngan OKU. Harus diingat, mereka yang kurang berkemampuan inilah yang telah menyumbangkan kejayaan negara di pentas Sukan Paralimpik.

“Mereka telah buktikan kemampuan pada 2016 dan pada 2021 ini, kira-kira 12 atlet para negara telah melayakkan diri ke temasya itu.

“Saya juga mempunyai anak OKU dan kejayaan mereka ini sedikit sebanyak membuka mata semua pihak. Saya faham situasi yang mereka alami seperti malu dengan kelemahan yang ada, tetapi 4.5 juta rakyat kategori ini mampu menyumbang kepada negara dari segi ekonomi mahupun sektor sukan.

“Saya tahu masih ada dalam kalangan masyarakat yang memandang rendah dan pemikiran ini perlu dihapuskan segera,” kata­nya.

Dalam pada itu, Megat turut menjelaskan, pihaknya tidak berputus asa untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam sukan Paralimpik, namun mengakui berdepan kekangan berikutan pandemik Covid-19.

Tegasnya, MPM telah menggerakkan Program Pengenalpastian Bakat Sukan OKU agar negara tidak ketandusan atlet Para yang berbakat kelas dunia.

“Buat permulaan, kita telah menganjurkan program di Perak yang menyaksikan sambutan luar biasa apabila seramai 120 peserta mengambil bahagian.

“Seterusnya, misi mencari pelapis berkelas dunia akan dite­ruskan ke beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan sebelum ke pantai timur dan utara­ tanah air. Kalau kita lihat pada usia 33 tahun, Dikwan (Ridzuan) mungkin akan bersara tidak lama lagi, jadi kita perlu mencari atlet pelapis seterusnya.

“Disebabkan itu, kami me­ngadakan program ini untuk mencari pengganti berkualiti dalam kalangan OKU,” jelasnya.-K! ONLINE

 

POPULAR