fbpx

19 PPV IPT mampu beri 432,000 vaksin sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 19 buah institusi pengajian tinggi (IPT) dikenal pasti untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) yang berkemampuan memberi 14,400 vaksin sehari atau 432,000 vaksin sebulan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, model PPV IPT itu mengguna pakai model PPV di bawah Kementerian Kesihatan yang akan melibatkan universiti awam (UA), hospital pengajar universiti (HPU), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebagai tonggak kepada setiap PPV.

Beliau berkata, dua daripadanya iaitu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UiTM Puncak Perdana dikenal pasti sebagai PPV mega yang mampu memberi 5,000 dos vaksin sehari.

Menurutnya, universiti lain yang dikenal pasti ialah Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, (Sasmec@IIUM), Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin, Univerisiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Sarawak yang masing-masing boleh memberi 1,000 dos vaksin sehari.

“Turut disenaraikan ialah Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Selain itu ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Utara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noraini berkata, semua universiti terbabit dikenal pasti menerusi pasukan khas yang diketuai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof. Datuk Dr. Husaini Omar dengan dibantu  Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz  Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Nazirah Hasnan.

“Cadangan untuk menjadikan sebahagian daripada IPT sebagai PPV adalah bagi membantu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat untuk divaksin,” katanya.

Noraini berkata, KPT komited untuk menggerakkan semua tenaga kerja kesihatan UA yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian, Pegawai Farmasi, Pensyarah Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat untuk terlibat dalam PPV IPT.

“Ini bagi memastikan sasaran 150,000 dos vaksin sehari akan dapat dicapai menjelang akhir Jun ini,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI