fbpx

Penumpang LRT, MRT digesa buat ujian saringan -Prasarana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya dan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang ketika waktu puncak pagi semalam disaran melakukan ujian saringan Covid-19.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, saranan itu susulan mesej tular di media sosial oleh dua penumpang yang menyatakan mereka telah didapati positif Covid-19.

“Penumpang bernama Claudia Nuriman membuat ‘posting’ dalam akaun Twitter @claudianuriman menyatakan bahawa beliau menaiki tren LRT Wangsa Maju ke Pasar Seni.

“Dia seterusnya menyambung perjalanan menggunakan perkhidmatan MRT ke Stesen Semantan. Perjalanannya itu adalah antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi pada 28 Mei (semalam),”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Prasarana, seorang lagi pemilik akaun Twitter dikenali sebagai Nurul Aisyah @asyxxi turut memberitahu bahawa dia diuji positif Covid-19.

Justeru, Nurul Aisyah menasihati para penumpang yang menaiki tren LRT dari Taman Melati ke KLCC pada pagi 27 Mei antara pukul 8 pagi sehingga 9 pagi supaya segera menjalani ujian saringan.

“Rapid KL mengalu-alukan sikap terbuka kedua-dua penumpang berkenaan dan kami menasihati penumpang untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ketika menggunakan perkhidmatan tren khususnya pemakaian pelitup muka dengan betul.

“Jika boleh, gunakan pelitup muka berganda (double face mask) untuk menjaga kesihatan masing-masing serta berhemah ketika menaiki tren bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

Pada masa sama, Prasarana memaklumkan, semua tren Rapid KL disanitasi setiap malam untuk memastikan keselamatan dan keselesaan para penumpang kami.

“Sekiranya mempunyai tanda-tanda bergejala, elakkan menggunakan perkhidmatan tren dan meletakkan para penumpang lain dalam risiko,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kecoh di laman Twitter hari ini apabila seorang penumpang LRT berkongsi keputusan ujian saringan Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang mendapati dia positif Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI