fbpx
Kecederaan kaki kanan yang dialami Berryah dalam kejadian pelanggaran dua tren LRT di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

‘Saya sudah trauma naik tren’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Mangsa insiden pelanggaran tren Transit A­liran Ringan (LRT) pada Isnin lalu dilaporkan masih masih trauma dengan kejadian tersebut.

Mangsa, Berryah Anak Anggo, 29, berkata, impak kejadian itu, dia mengalami kecederaan di kaki kanan dan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

“Saya masih terkejut, setakat ini semuanya stabil, cuma kaki kanan masih sakit.

“Saya masih ditempatkan di sini (HKL) dan akan dibenarkan pulang sekiranya keadaan pulih sepenuhnya,” katanya.

Cerita Berryah, semasa kejadian, kebanyakan penumpang di dalam pengangkutan awam itu panik selepas mendengar bunyi dentuman di bahagian hadapan tren sebelum mereka terjatuh.

“Saya berasa cemas melihat penumpang berlumuran darah. Kaca juga bertaburan di atas lantai, ada juga (penumpang) yang menangis kesakitan,” kata juruwang yang berasal dari Je­lebu, Negeri Sembilan kepada Kosmo! di sini semalam.

Berryah mengakui dia berasa trauma untuk menaiki tren pada masa akan datang dan bercadang untuk menggunakan perkhidmatan awam lain seperti bas, teksi atau e-hailing untuk ke tempat kerjanya.

Buat masa ini, gadis itu menjelaskan, dia mahu memberi tumpuan untuk memulihkan kece­deraan yang dialaminya sebelum menyemak pampasan yang diberikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)

“Sekiranya pampasan itu tidak berbaloi, mungkin saya bersama mangsa-mangsa yang lain akan berbincang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Afiq Luqman Mohd. Baharudin, 27, turut mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpanya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah di Petaling Jaya.

“Saya mengalami pendarahan pada mata kiri. Pihak hospital memberi cuti sakit tiga hari.

“Saya telah dibenarkan keluar hospital dan masih berehat di rumah. Doktor menasihatkan saya agar memantau kesihatan kerana kecederaan itu melibatkan organ penting,” katanya.

Eksekutif khidmat pelanggan itu turut berharap pampasan yang diterima adalah setimpal dengan kecederaan yang dialaminya.

 

POPULAR