fbpx

Anak luar nikah pasangan Malaysia-Filipina gagal dapat kerakyatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seorang anak luar nikah berusia 11 tahun gagal segala usaha untuk mendapat kerakyatan Malaysia walaupun bapa kandungnya yang merupakan rakyat tempatan, kemudian berkahwin secara sah dengan ibunya seorang warganegara Filipina, lima bulan selepas kelahirannya.

Perkara itu dimuktamadkan oleh panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan di sini hari ini yang mencapai keputusan majoriti tipis 4-3 ketika menolak rayuan akhir kanak-kanak itu dan bapanya.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf menolak rayuan itu bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama-sama Datuk P. Nallini dan Datuk Mary Lim Thiam Suan mencapai keputusan minoriti membenarkan rayuan pasangan itu.

Hakim Rohana dalam penghakiman majoriti berpendapat, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa status kerakyatan anak luar nikah adalah berdasarkan kepada kerakyatan ibunya, ketika kanak-kanak itu dilahirkan.

Dalam hal ini, jelas bahawa kanak-kanak itu merupakan warganegara Filipina berdasarkan pasport yang dikeluarkan oleh negara itu ketika memasuki Malaysia.

Ujar Hakim Rohana, mahkamah berfungsi untuk mentafsir dan mengekalkan sebutan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tidak kira sama ada keputusan yang dicapai itu tidak popular atau tidak disukai.

“Mahkamah tiada urusan untuk mencari populariti ketika membuat keputusan yang popular, bukan seperti ahli politik,” ujarnya.

Bagaimanapun, Hakim Tengku Maimun berpendapat, status kerakyatan kanak-kanak itu boleh ditentukan mengikut kerakyatan ibunya jika identiti bapa kanak-kanak tersebut tidak diketahui.

Peguam Datuk Dr. Cyrus V. Das mewakili pasangan tersebut manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden-responden. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI