fbpx

Perdana Menteri mahu konflik Israel, Palestin ditamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Israel memasuki kawasan Gaza untuk melakukan serangan.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan pendapat berhubung isu-isu berkaitan Myanmar dan Palestin kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam satu panggilan telefon yang diterimanya, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Muhyiddin dan Antonio menyatakan rasa dukacita di atas keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Wilayah yang diduduki.

“Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan gencatan senjata oleh pihak Israel dan pejuang Palestin di Gaza.

“Beliau juga menyatakan sokongan atas usaha PBB dan negara-negara yang terlibat supaya pihak yang bertelagah mematuhi gencatan senjata serta mencari jalan penyelesaian yang berkekalan bagi menamatkan konflik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Muhyiddin dan Antonio sepakat menyatakan bahawa penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin perlu dihentikan serta merta dan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk memastikan keamanan berpanjangan bagi kedua-dua belah pihak

Sementara itu, katanya, Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB turut meluahkan rasa kesal dan bimbang mengenai situasi keselamatan di Myanmar yang tidak menunjukkan perkembangan yang positif.

Jelasnya, Muhyiddin memaklumkan bahawa Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain telah mengadakan pertemuan pada April lalu bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani krisis di Myanmar.

“Beliau berpandangan bahawa PBB dan ASEAN boleh bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani krisis politik di Myanmar, terutamanya melalui ‘Five-Point Consensus’ yang telah dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN tersebut.

“Selain itu, pelantikan Utusan Khas Pengerusi ASEAN sedang dimuktamadkan dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian secara damai demi kepentingan rakyat Myanmar,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua mereka bersetuju bahawa semua pihak terlibat harus terus bekerjasama secara konstruktif dengan tujuan bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi di Myanmar.

Menurut kenyataan itu lagi, sesi panggilan telefon tersebut yang dilakukan oleh Antonio ke atas Muhyiddin bagi membincangkan isu Myanmar dan Palestin jelas menunjukkan bahawa PBB mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia dalam isu Myanmar dan Palestin di peringkat antarabangsa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI