fbpx

Virus Covid-19 seperti sel kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

DUA bulan lalu, kenalan penulis yang sedang bertarung dengan kanser kolon yang juga dikenali sebagai barah usus menyatakan doktor yang merawatnya memberi peringatan mengenai Covid-19.

Kawan memberitahu, doktor di Hospital Selayang itu menjangkakan tidak mustahil kes harian Covid-19 akan mencecah sehingga 6,000 kes sehari pada Mei.

Kebetulan, isteri kenalan itu seorang doktor di sebuah hospital kerajaan dan dia juga memberitahu kawan tadi mengenai hal yang sama.

Waktu itu, penulis tidak berapa yakin dengan kenyataan tersebut kerana kes baru hendak menginjak ke angka 1,100.

Jauh betul rasanya dengan angka 6,000 itu. Ramai juga ketika itu yang tidak hiraukan mengenai jangkaan tersebut dan masih keluar seperti biasa.

Namun, ketika kita semua sedang leka dengan peringatan Kementerian Kesihatan, virus korona semakin galak menguasai ruang udara kita.

Pelbagai jenis varian baharu yang jahat sifatnya begitu rakus memasuki rongga-rongga manusia. Lebih dahsyat, virus itu bersarang di dalam badan tanpa disedari dan tanda. Tahu-tahu, organ dalaman empunya badan sudah rosak hingga mengakibatkan kematian.

Punya bahaya Covid-19 ini hinggakan seorang anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya menceritakan yang dia dan rakan-rakan terpaksa memakai peralatan perlindungan diri lebih lapan jam untuk menguruskan jenazah yang semakin bertambah setiap hari.

Katanya, pertambahan jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19 mula dirasai sepanjang Ramadan lalu.

Sabtu lalu, seorang kenalan penulis menjadi orang paling muda meninggal dunia akibat Covid-19. Baru berusia 25 tahun. Dia kelihatan lincah dan tidak menunjukkan sebarang tanda dijangkiti virus berkenaan sehinggalah dia tiba-tiba pengsan di rumahnya.

Selepas didiagnos, doktor mendapati buah pinggang dan paru-parunya rosak teruk. Ujian calitan menunjukkan dia positif Covid-19.

Ya, virus ini seperti sel kanser. Menyerang tanpa disedari dan melumpuhkan sistem pertahanan badan dalam tempoh yang singkat. Virus ini bukan seperti kuman selesema biasa yang dianggap oleh kebanyakan orang. Ia lebih dahsyat daripada itu.

Itupun masih ada lagi yang degil dengan melanggar prosedur operasi standard. Setiap hari ada sahaja hebahan mengenai kompaun yang dikenakan ke atas mereka yang ingkar.

Jalan raya setiap hari penuh dengan kenderaan. Sekatan jalan raya sesak kerana polis perlu membuat pemeriksaan dengan teliti.

Sememangnya kita ini lupa kepada sejarah dunia. Orang dahulu lebih perit menjalani kehidupan mereka apabila berdepan dengan penaklukan Jepun, perang dunia, pandemik selesema dan krisis ekonomi.

Kita pula, disuruh pakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal sudah rasa terbeban dan menyusahkan. Arahan kata jangan pergi beraya dan rentas negeri pun tidak diendahkan.

Tidak pernah menyalahkan diri sebaliknya menuding jari kepada kerajaan. Muhasabah dan berwaspadalah kerana Covid-19 ini masih berada di sekeliling kita. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI