fbpx

Penularan varian India, Melbourne laksana perintah berkurung mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai beratur untuk membuat ujian Covid-19 di Melbourne selepas kluster terbaharu melibatkan varian India tercetus di bandar itu. – AFP

MELBOURNE, AUSTRALIA –  Kota raya Melbourne dijangka melaksanakan perintah berkurung mengejut susulan peningkatan kes Covid-19 yang disebabkan oleh varian India, lapor portal MailOnline hari ini.

Bandar kedua terbesar di Australia itu melaksanakan semula beberapa peraturan Covid-19 sedia ada selepas pihak berkuasa melaporkan lima kes baharu varian tersebut.

Ia termasuk pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam serta mengehadkan kepada lima tetamu dalam sebuah rumah.

Bandar raya itu kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas kes seorang lelaki yang dijangkiti varian India duduk bersama 23,000 peminat bola sepak dalam satu perlawanan Liga Bola Sepak Australia di stadium Padang Kriket Melbourne, negeri Victoria.

Daripada lima kes varian India direkodkan semalam, semua kes adalah berkaitan dengan lelaki tersebut, yang telah menyebarkan virus itu kepada ahli keluarganya di samping 168 kontak rapat dilaporkan setakat ini.

“Kita tidak boleh memandang remeh pada varian India. Varian ini berupaya menukar dengan pantas, sama seperti varian UK,” ujar Ketua Pegawai Kesihatan Victoria, Dr. Brett Sutton.

Setakat ini, satu kluster varian India direkodkan di pinggir Melbourne dalam tempoh dua hari lepas, dengan sembilan kes dilaporkan.

Penularan terbaharu itu mengakhiri rekod negeri Victoria yang tidak mencatatkan sebarang kes Covid-19 selama tiga bulan.

Negeri itu pada tahun lepas merupakan negeri paling teruk dilanda wabak Covid-19, dengan mencatatkan kira-kira 70 peratus daripada kes keseluruhan dan 90 peratus kematian di Australia. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI