fbpx

Pemandu cuai punca nahas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN penyelamat membantu mangsa-mangsa kemalangan tren di Stesen KLCC malam kelmarin.

Oleh NOR IDAYU BOSRO, AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI, EDDY HAMIDI dan NOR AZIHAN MD. GHAZALI

PUTRAJAYA – Kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya melibatkan tren bernombor 40 (Tr40) dan tren 81 (Tr81) malam kelmarin dikenal pasti berpunca daripada ke­cuaian pemandu yang memandu Tr40 mengikut arah yang salah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, Tr40 yang sepatutnya bergerak ke arah selatan didapati bergerak dalam orientasi berlainan menuju ke arah utara sehingga berlaku pertembungan antara kedua-dua tren terbabit.

Menurutnya, Tr40 yang tiada penumpang pada mulanya dikendalikan secara automated train operation (ATO) dari Gombak ke depoh Subang iaitu ke arah selatan sebelum mengalami kegagalan (timed out) semasa menghampiri Stesen Kampung Baru.

“Apabila Tr40 didapati me­ngalami kegagalan, pusat kawalan operasi (OCC) mengarahkan pemandu untuk memandu tren itu secara manual dari Stesen Kampung Baru menuju ke Stesen Dang Wangi.

“Kecuaian berlaku apabila pemandu membawa Tr40 dalam arah bertentangan hingga bertembung dengan Tr81 yang dalam perjalanan ke Stesen Kampung Baru selepas berlepas dari Stesen KLCC,” katanya dalam sidang akhbar secara maya semalam.

Ka Siong memberitahu, Tr40 berhenti di Stesen Kampung Baru adalah disebabkan oleh kegagalan tren beroperasi secara ATO berikutan sistem kawalan vehicle on-Board controller (VOBC) terhenti.

Pada masa sama, katanya, Tr81 yang beroperasi secara ATO dan membawa 213 penumpang berada dalam keadaan statik di platform Stesen KLCC.

“Tr81 kemudiannya berlepas dari Stesen KLCC ke Stesen Kampung Baru pukul 8.24 malam setelah menerima maklumat bahawa Tr40 telah beredar dari Stesen Kampung Baru menuju ke Stesen Dang Wangi.

“Pada pukul 8.33 malam, pemandu tren menghubungi OCC dan memaklumkan bahawa Tr40 telah bertembung dengan sebuah tren yang dikenal pasti sebagai Tr81,” ujarnya.

Kejadian itu yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara melibatkan insiden tren LRT sejak memulakan operasi pada tahun 1996 telah mengakibatkan 64 daripada 213 penumpang Tr18 cedera dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Daripada 64 penumpang yang cedera itu, enam orang kritikal termasuk tiga mangsa memerlukan bantuan ventilasi, manakala 15 mangsa separa kritikal dan 43 penumpang lagi tidak kritikal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kelajuan tren ketika kejadian kurang daripada 40 kilometer sejam dan berlaku berdekatan Stesen KLCC.

“Kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 201 Akta Pe­ngangkutan Awam Darat 2010 ke­rana menyebabkan kecederaan.

“Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan kes ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI