fbpx

Bila geng ‘bapak-bapak’ ada kelab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIMAN HAKIM RIDZA

BERBANDING cabaran kaum Adam atau bapa, penonton sering disajikan dengan keluh resah kaum Hawa, terutamanya golongan isteri atau ibu untuk tatapan dalam naskhah tempatan.

Sehubungan dengan sebuah drama bersiri komedi romantik berjudul Ahli Bapak Bapak Club terbitan Astro kini dihasilkan khas sebagai dedikasi buat golongan lelaki.

Mengangkat cabaran suami dan bapa moden dalam menghadapi konflik persahabatan, kerjaya dan keluarga, drama bersiri 10 episod berkenaan merupakan arahan sutradara Tam Suhaimi hasil kerjasama rumah karya, Global Station Sdn. Bhd.

Drama bersiri Ahli Bapak Bapak Club disiarkan sejak 19 Mei lalu setiap Rabu menerusi saluran Astro Ria HD selain turut boleh distrim dalam portal Gempak, aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan lebih fleksibel.

Sementara itu, kapsul istimewa dalam format temu bual juga disajikan kepada penonton dengan memaparkan pelbagai perkongsian santai seperti pengalaman, nasihat serta tip menjadi bapa baik dan ‘cool’.

Kapsul yang menampilkan watak utama iaitu Joe lakonan Aiman Hakim Ridza, Bob (Luqman Hafidz) dan Nik (Steve Yap) juga menemui penonton setiap Rabu pukul 10 malam sejak 19 Mei lalu secara eksklusif menerusi semua platform digital Astro.

Pelbagai topik menarik dikupas bersama ketiga-tiga lelaki tersebut antaranya Cara Nak Jadi Cool Dad, Trend Kesukaan Anak, Waktu Terbaik Untuk Me Time Seorang Bapak dan banyak lagi.

DRAMA bersiri Ahli Bapak Bapak Club menterjemah dilema kaum lelaki, khususnya suami dan bapa moden yang mungkin tidak disedari golongan wanita.

Cabaran bapa moden

Menurut Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, Astro sentiasa konsisten dalam menghasilkan karya berkualiti dan menepati cita rasa penonton termasuklah menerusi jenama digital yang merupakan peneraju kandungan alaf baharu.

“Kali ini, kami di Astro mempertaruhkan subjek dan topik yang jarang diketengahkan menerusi televisyen iaitu cabaran golongan lelaki, terutamanya suami dan bapa moden dalam menyeimbangkan kehidupan seharian.

“Termasuklah dari segi kerjaya, keluarga, minat, keperluan peribadi dan kehidupan secara umum dalam mengharungi zaman serba mencabar ketika ini,” katanya.

Tambah Jastina, pihaknya yakin isu dan elemen yang diselitkan dalam drama Ahli Bapak Bapak Club akan diterima baik oleh penonton.

“Jalan ceita ini dibawa dengan berkesan oleh barisan pelakon berpengalaman, selain bakat-bakat baharu yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini.

“Kami berharap drama ini mampu menambat hati penonton serta membuka mata pelbagai pihak untuk lebih memahami situasi golongan bapa zaman sekarang bahawa mereka juga turut berdepan pelbagai isu yang selama ini kurang didedahkan,” katanya lagi.

Lebih menarik, Ahli Bapak Bapak Club merupakan kemunculan pertama pelakon Aiman selepas bergelar bapa dan suami, sekali gus menyaksikan sisi berbezanya menerusi watak Joe, seorang pelakon yang sedang melalui zaman kejatuhan.

WATAK Bob lakonan Lukman Hafidz (kanan) mewakili golongan suami yang tidak disenangi mertua.

Sementara watak Bob yang dimainkan oleh LuqmanHafidz pula merupakan seorang bapa beranak satu tetapi dia bukanlah menantu idaman kerana sering menimbulkan masalah dengan ibu mertuanya.

Tidak ketinggalan, watak Nik lakonan pelakon hebat yang sering menjalin kerjasama dengan produksi antarabangsa seperti China, Taiwan, Hong Kong dan Singapura iaitu Steve Yap merupakan seorang pakar motivasi terkenal.

Dia bagaimanapun tidak disayangi dua orang anak tirinya, ditambah pula dengan kehadiran bekas suami isterinya, Qadir yang mahu mendapatkan kembali wanita itu.

Selain tiga watak utama tersebut, drama berkenaan juga buat pertama kali menampilkan kemunculan penyanyi muda berbakat besar, Amir Masdi dalam lakonan dengan memegang watak sebagai Fir.

Ahli Bapak Bapak Club yang menjalani penggambaran sewaktu Ramadan di sekitar Cyberjaya, Wangsa Maju, Kemensah dan Batang Kali, Selangor juga wajar diberi tepukan kerana selama 18 hari dilalui dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI