fbpx

Saya, peguam tidak naik kenderaan sama – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NEELOFA menafikan dakwaan dia, Haris dan peguam (depan) menaiki kenderaan yang sama untuk pulang ke kediaman masing-masing.

PETALING JAYA – Sekali lagi terpalit kontroversi, Neelofa menafikan tuduhan netizen yang mendakwa dia melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana kenderaan yang dinaiki melebih tiga orang penumpang.

Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, peguamnya, Zahiril tidak menaiki kenderaan yang sama untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Penjelasan tersebut dimuat naiknya selepas tular sebuah video yang memperlihatkan Zahiril menaiki kenderaan yang sama dengannya di hadapan IPD Seremban hari ini.

KENYATAAN Neelofa yang dimuat naik dalam Twitter berhubung isu tersebut.

“Kami hanya menumpangkan beliau daripada balai polis ke mahkamah bersebelahan dengan jarak 50 meter kerana kenderaannya diletakkan di ruangan parkir di sana.

“Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pengacara Nest To Neelofa itu memberitahu, pihaknya telah menghubungi IPD Seremban mengenai situasi tersebut.

“Kami telah hubungi IPD Seremban dan mereka sedia maklum tentang perkara ini. Saya, Haris dan pemandu pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan kami manakala Zahiril pula dengan keretanya.

“Pihak polis boleh meneliti semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kami menurunkan peguam di perkarangan mahkamah atau daripada luar balai.

“Diharapkan ini dapat menjelaskan perkara yang berlaku selain mengelakkan salah faham yang berlaku,” katanya lagi.

Hasil tinjauan Kosmo!, terdapat netizen yang berpendapat agar orang ramai tidak membuat andaian salah kepada Neelofa.

“Kepada netizen, tolong jaga lidah anda. Walaupun Neelofa buat silap, sekalipun Islam tidak ajar untuk maki hamun orang lain,” tegur seorang pengguna Twitter.

“Semoga Neelofa diberikan kekuatan dan kesabaran. Kenapalah sampai begini untuk terangkan kepada netizen,” tulis seorang lagi netizen.

Hari ini, Kosmo! melaporkan Neelofa hadir ditemani suaminya, Haris dan peguamnya ke IPD Seremban bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tidak memakai pelitup muka pada 20 Mei lalu di Mahkamah Seremban.

Untuk rekod, Neelofa, Haris dan ahli keluarga pernah dikenakan kompaun berjumlah RM60,000 atas kesalahan pelanggaran SOP pada majlis pernikahan pada 27 Mac lalu dan salah guna kebenaran rentas negeri ke Pulau Langkawi, Kedah.

Dia bagaimanapun sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas didakwa melanggar SOP dengan merentas negeri ke Nilai 3 untuk membeli karpet.

Tidak cukup dengan itu, bekas pengacara MeleTOP itu juga dikatakan sekali lagi melanggar SOP ziarah raya selepas tular sebuah rakaman video memaparkan dia dan beberapa ahli keluarga lain berkumpul di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr. Ismail. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI