fbpx
SEHINGGA Neelofa masih mengunci mulut mengenai khabar angin kehamilannya. Foto oleh FARIZWAN HASBULLAH

Lebih baik kongsi berita kelahiran berbanding kehamilan – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Sebenarnya kalau nak berkongsi tentang cahaya mata, kita lebih digalakkan untuk berkongsi tentang berita kelahiran berbanding kehamilan. Itu yang lebih baik sebenarnya.”

Itu jawapan ‘selamat’ yang diberikan selebriti Neelofa apabila masih enggan menjawab spekulasi kehamilan pertamanya yang diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.

Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 32, berpendapat, berita kehamilan tidak elok untuk dihebahkan kerana pelbagai perkara boleh terjadi.

“Kalau saya boleh berkongsi tentang kehamilan atau mendapat cahaya mata, kita lebih disarankan untuk berkongsi mengenai kelahiran berbanding kehamilan.

“Saya sangat menginginkan doa yang baik-baik, kata-kata yang positif. Saya nak cakap lebih pun takut. Perkara ini sangat sensitif, ada sesetengah orang anggap biasa. Jadi kalau yang nampak saya berbeza tu, berbezalah. Siapa yang nampak saya sama, samalah,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Neelofa yang ditemui pada Majlis Memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) dan aplikasi TheNoor yang bertempat di Kompleks TH, Kelana Jaya, Selangor, hari ini juga memberitahu, dia baru sahaja pulang dari Langkawi dan berjumpa dengan ramai peminat di sana yang bertanyakan perkara serupa.

“Ketika saya bercuti di Langkawi bersama suami, saya ada bertemu dengan ramai peminat. Mereka nampak dan boleh menilai sendiri keadaan saya.

“Jadi sebab itu saya lebih suka meminta doa kalau ada yang bertanyakan tentang berita kehamilan saya. Anda semua boleh menilai sendiri lebih-lebih lagi mereka yang pernah terserempak dengan saya di luar sana,” kata isteri kepada pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd. Ismail itu.

Terdahulu, sejak beberapa bulan lalu khabar angin mengenai kehamilan bekas pengacara MeleTOP itu hangat diperkatakan selepas dia dilihat menunjukkan tanda-tanda ibu mengandung apabila asyik mengusap bahagian perutnya.

Bukan hanya pada siaran langsung menerusi Instagram mempromosikan tudung keluarannya, paling ketara ketika hadir ke Mahkamah Seremban bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), 24 September lalu.

Biar didesak dengan pelbagai soalan dan ucapan tahniah dalam laman sosial, sehingga kini tiada sebarang jawapan atau pengakuan yang dikeluarkan oleh Neelofa dan juga suaminya.

Sekadar info, Neelofa dan PU Riz melangsungkan pernikahan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu. – K! ONLINE

POPULAR