fbpx

Kayu balak bersaiz luar biasa dari Terengganu bukan Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kayu balak bersaiz luar biasa dibawa sebuah treler di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh yang tular dalam media sosial semalam.

TEMERLOH – Kayu balak bersaiz luar biasa yang tular dalam media sosial dibawa sebuah treler bukanlah daripada negeri Pahang seperti yang didakwa.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), berdasarkan pemeriksaan mendapati pas pemindahan kayu balak berkenaan dikeluarkan negeri Terengganu.

“Lori dilaporkan diperiksa di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gombak dan hasil semakan mendapati lori balak tersebut membawa muatan kayu balak seperti dalam Facebook berkenaan.

“Difahamkan bahawa muatan ini akan dihantar ke sebuah kilang papan di Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam tular dalam media sosial selepas seorang pengguna Facebook memuatnaik gambar kayu balak bersaiz luar biasa di atas sebuah treler yang berhenti di R&R Temerloh arah Barat di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Dalam hantaran tersebut pemilik Facebook berkenaan menyatakan kemusykilan bahawa pokok balak bersaiz besar seperti itu hanya berada di kawasan hutan simpan dilindungi sepenuhnya dan mempersoalkan bagaimana ia terlepas daripada pembayaran cukai.

Susulan itu juga terdapat hantaran perkongsian yang menyalahkan kerajaan negeri pimpinan UMNO dan mengajak rakyat menukar kerajaan negeri kepada kerajaan pimpinan Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut kenyataan itu JPNP, sentiasa peka dan bertanggungjawab terhadap semua aduan bagi memastikan agar tindakan tegas dan segera diambil demi menjaga dan memelihara khazanah hutan negeri.

“Pejabat ini amat menghargai aduan yang dibuat namun berharap agar disalurkan secara terus kepada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan bersesuaian termasuk JPNP agar tindakan lebih pantas dapat diambil,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI